PAS Tetap Teguh Pendirian Untuk Bawa RUU 355 Ke Parlimen

SHAH ALAM, 31 Mac – Sekalipun kerajaan memutuskan tidak akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355, PAS tetap teguh dengan pendiriannya untuk membawa usul itu ke parlimen, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bercakap selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila di Terengganu pagi ini, Hadi berkata pihaknya optimis akan diberi peluang membentangkannya kelak.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Marang itu berkata, keputusan untuk membentang dan membahaskan RUU 355 adalah hak mutlak Speaker Dewan Rakyat.

“Mengikut Perintah Tetap Parlimen, RUU 355 Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 ini boleh dibentang dan dibahaskan selepas urusan kerajaan, namun kerajaan boleh memberi peluang untuk ia dibentangkan pada bila-bila masa.

“Justeru, saya menyeru semua Ahli Parlimen beragama Islam untuk menyokong pindaan RUU 355, manakala yang bukan beragama Islam mestilah menghormati perlembagaan negara.

“Perlembagaan mengatakan ini adalah hal berkaitan Islam sahaja,” katanya dipetik Berita Harian Online.

Hadi berkata, PAS sedia menghadapi apa juga rintangan dan halangan dalam membentangkan RUU 355 kerana ini adalah kewajipan sebagai umat Islam.

Beliau turut mendakwa mengetahui dalang yang cuba menghalang pembentangan itu menjadi kenyataan.

RUU Akta 355 dijadualkan dibentang pada sidang Parlimen yang sedang berlangsung kini, dan ia merupakan kali ketiga selepas melalui dua kali penangguhan sebelum ini.

PAS pada 26 Mei 2016 membentangkan RUU tersebut kali pertama, sebelum menangguhnya ke sidang November tahun yang sama.

Pada sesi pembentangan kedua, PAS meminta untuk sekali lagi menangguhkan bacaan RUU itu bagi memberi lebih masa kepada ahli Parlimen yang lain membuat kajian dan memahami isu itu terlebih dahulu.

Advertisements