Jangan Jadikan RUU 355 Sebagai ‘Korban’ Politik Orang Melayu-Islam

RUU-355-640x320

SHAH ALAM, 2 April – Tidak mustahil pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 menjadi ‘korban’ agenda politik yang dibawa parti-parti politik Melayu-Islam.

Ketua Kluster Perpaduan Negara, Prof Dr Mansor Mohd Nor berkata demikian apabila mengulas pindaan Akta 355 yang akhirnya kekal menjadi RUU persendirian PAS.

Tambahnya sikap saling berbalah pendapat dan pandangan tentang cadangan penambahbaikan bidang kuasa mahkamah syariah itu akhirnya mencerminkan ketidaksepakatan umat Islam.

“Orang-orang Islam terutamanya kena cerminkan diri. Mereka mesti ada penyatuan pemikiran tentang agenda Islam. Yang kita perhatikan sekarang, penyatuan pemikiran orang Islam sendiri dalam hal RUU 355 terpecah, tiada kesepakatan.

“Sepatutnya, terutamanya kepimpinan orang Islam kena duduk berbincang, berdialog dan bermediasi untuk mencari jalan penyelesaian terhadap apa yang ditimbulkan. Kerana akhirnya nampak mereka tak bersatu,” katanya.

Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengisytiharkan kerajaan tidak akan membentangkan pindaan Akta 355 di Parlimen.

Najib berkata tindakan itu diambil susulan mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang secara konsensus membuat keputusan mengenai perkara itu.

Kata Najib, Akta 355 akan kekal sebagai RUU persendirian dan terserah kepada kepada Speaker (Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia) untuk menentukan mengikut kepada aturan urusan mesyuarat.

Sebelum ini pindaan Akta 355 yang dibawa PAS menjadi perdebatan banyak pihak, terutamanya ahli-ahli politik yang mendakwa ia gagal menepati syariat Islam.

Amanah, yang merupakan parti serpihan PAS menolak cadangan pindaan berkenaan dengan alasan parti itu gagal memberi penjelasan lanjut apakah tujuan utama disebalik ia dilakukan, malah turut tampil membawa usul pindaan alternatif terhadap RUU 355.

“Jika setiap parti-parti politik Melayu-Islam meletakkan agenda politik mereka, dan bukan RUU 355 sebagai agenda Islam, maka inilah kesudahannya,” tegas Mansor.

Meskipun PAS mendakwa ia melakukan banyak ceramah dan dialog bersama orang bukan Islam bagi memberi kefahaman lanjut tentang RUU 355, namun menurut Mansor ia masih gagal meyakinkan kumpulan berkenaan sehingga menimbulkan fobia.

“(Masalah) Proses penggubalan RUU 355 kerana tidak ada dialog kepada masyarakat, terutamanya bukan Islam.

“Banyak yang kita dengar adalah perbahasan politik yang bertembung antara satu sama lain. Sehingga bukan Islam sendiri takut dengan apa yang berlaku.”

RUU 355 pertama kali dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada Mei 2016 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.

Ahli Parlimen Marang itu pada sesi terakhir Parlimen November lalu meminda usul itu dengan menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan maksimum 100 sebatan berbanding maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Advertisements