Pakatan Harapan Cemas Kerajaan Barisan Nasional Tidak Jadi Bentangkan Pindaan Akta RUU 355

hadi-akta-355

Kesumat DAP, PKR, Amanah dan PPBM biarlah masalah terencatnya usaha kerajaan mahu membentangkan RUU 355 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah menjadi punca sengketa baru diantara Umno dan PAS.

Mereka berharap PAS akan kecewa dipermainkan oleh Umno yang sebelum ini mengumumkan akan membentangkan RUU berkenaan tetapi tidak jadi kerana tidak mendapat sokongan konsensus kerabat Barisan Nasional.

Pada perkiraan Pakatan Harapan (PH) jika berlaku perselisihan faham diantara PAS dan Umno sudah itu akan melemahkan kedudukan dua parti penghalang utama bagi PH mahu menawan Putrajaya.

Jika PAS merajuk atau memberikan reaksi negatif hingga menutup sebarang kemungkinan bekerjasama dengan Umno mendepani Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), sudah tentu parti itu akan berhadapan dengan PH dan juga Umno.

Sudah tentu ini akan menjanjikan cabaran yang mampu diberikan PAS terhadap PH dan Umno akan ‘kurang bisanya’. Begitu juga Umno. Sudah pasti ia menjadi semakin lemah jika terpaksa hadapi cabaran PAS dan PH sekaligus.

Bagaimanapun kesumat PH itu nampaknya masih jauh dari realiti. PAS tidak gugup atau terlalu kecewa dengan keputusan Umno tidak membentangkan RUU berkenaan.

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, keputusan BN itu sudah dijangka berikutan bantahan komponen parti pemerintah terhadap rang undang-undang itu amat lantang.

“Sebelum ini memang kita dah beritahu, PAS yang nak bawa tapi tiba-tiba kerajaan cakap nak bawa,” katanya.

Bagaimanapun minggu lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengisytiharkan kerajaan tidak akan berbuat demikian.

Alasan Umno-BN jelas. Namun yang nyata tidak puas hati dengan perkembangan itu ialah pemimpin-pemimpin PH kerana perkembangan itu tidak menunjukkan keretakan nyata dalam hubungan Umno dengan PAS.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin mendakwa, BN tidak pernah bersungguh-sungguh membawa RUU berkenaan dan kesediaan BN mahu mengambil alih usul itu hanyalah dibuat atas perkiraan kepentingan politik.

“Sepatutnya cadangan seperti ini mesti dibincangkan terlebih dahulu, jangan terlalu tergesa-gesa atas kepentingan politik sehingga memalukan agama Islam itu sendiri.

“Ternyata mereka bukan bersungguh sungguh untuk bawa RUU ini. Mereka hanya ingin melihat Pakatan Rakyat (PR) dan PH berpecah, dari segi itu, mungkin mereka telah berjaya,” katanya.

Gabungan PR terkubur pada Julai 2015 selepas PAS dan DAP memutuskan hubungan kerjasama di antara kedua parti berkenaan, akibat pertikaian berpanjangan termasuk mengenai isu hudud.

Yang pasti ialah, tuduhan Azmin ini agak jauh tersasar. Ini kerana Akta 355 berhubung bidang kuasa Mahkamah Syariah digerakkan oleh kerajaan sendiri pada 1965. Ia dipinda pada 1984 dan sekali lagi pada 1989.

Sayugia diingatkan bahawa ketika Umno mengusulkan penambah-baikan Akta 355 pada 1984, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara pemimpin utama Umno yang menggerakkan inisiatif ini dan ia diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Malangnya, sehingga beliau dipecat dari Umno pada 1998, tiada inisiatif baru yang diambilnya untuk mengukuhkan lagi kedudukan Mahkamah Syariah, terutama dalam isu qazaf.

Jika peruntukan itu sudah dipautkan kepada Akta 355, sudah pasti Anwar boleh memanfaatkannya dengan memilih untuk mengenakan perbicaraan yang membuat tuduhan terhadapnya hingga mengakibatkan beliau dua kali dipenjarakan.

Parti Amanah nampaknya lebih terkesan dengan sikap terbuka PAS dan Umno mengharungi konsensus BN tidak mahu kerajaan membawa usul RUU355 ini dengan tuduhan yang boleh “mencederakan imej” Umno.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd Samad berkata, ia adalah ‘petanda’ bahawa Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak sudah hilang pengaruh di dalam gabungan parti-parti kerajaan itu.

“Ini mungkin satu pentanda yang Datuk Seri Najib telah hilang keyakinan dan pengaruh di dalam BN itu sendiri dan itulah sebabnya strategi yang telah ditetapkan beliau tidak berjaya,”katanya.

Namun sebaliknya dikalangan kerabat BN keputusan ini melambangkan kedudukan politik BN semakin utuh kerana prinsip konsensus masih terus mekar dalam gabungan itu berbanding dengan PH yang masih terkial-kial mahu “meniru” tatakrama BN.

“Tidak (hilang pengaruh), malah saya ingat beliau dapat lagi banyak support (sokongan) melalui keputusan ini,” kata Naib Presiden MIC, Datuk T Mohan.

Justeru, kini PAS sendiri akan membentangnya di Parlimen dan perlu mengikut giliran yang akan ditentukan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

PAS menyifatkan keputusan kerajaan itu tidak memberi kesan terhadap usahanya  mahu mencadangkan pindaan RUU 355 itu.

Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan berkata parti itu tidak pernah ‘lepas tangan’ meskipun kerajaan sebelum ini mengumumkan mahu mengambil alih membentangkan pindaan berkenaan.

Namun yang paling jelas ialah episod RUU355 ini telahpun mendedahkan tembelang ahli-ahli Dewan Rakyat muslim dari PKR, DAP, Amanah dan seorang dari PPBM berhubung komitmen mereka terhadap Islam.

Inisiatif dasar pindaan Akta 355 ialah untuk melaksanakan perintah Allah bagi memelihara perlakuan moral Islam. Malangnya, ini diputarbalikkan oleh mereka yang jauh dari semangat agama dengan pelbagai alasan teknikal dan remeh temeh.

Perihal Akta355 dan butir-butir pindaan yang dicadangkan langsung tidak membabitkan nilai kehidupan rakyat bukan Islam yang minum arak, berzina dan sebagainya tidak pernah diambilkira oleh pihak yang berpolitik menggunakan topeng Islam ini.

Advertisements