Pemuda PAS Kelantan Desak Nanyang Siang Pau Mohon Maaf Atas Sikap Biadap Akhbar Itu

KOTA BHARU, 10 April – Pemuda PAS Kelantan mendesak sebuah akhbar berbahasa Cina memohon maaf dan menarik balik kartun yang dianggapnya sebagai mempersendakan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Penerangannya Nazman Che Iberahim berkata, turut dipersendakan akhbar terbabit Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Katanya akhbar terbabit cuba menyamakan pemimpin berkenaan dengan haiwan.

“Ini suatu tindakan yang tidak boleh diterima sama sekali! Kurang ajar dan biadap! Kamu kena mohon maaf segera kepada Presiden PAS serta seluruh umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan Harakah.

Sebuah akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau menyiarkan lakaran kartun yang menggambarkan seekor monyet memakai serban berada di atas pokok 355 dan seekor lagi sedang melompat turun, dua hari selepas Hadi membentangkan usul pindaan Akta 355 di Dewan Rakyat pada Khamis lalu.

Nazman juga berkata memakaikan serban adalah Sunnah kepada lelaki Muslim dan simbol suci orang Islam.

“Songkok ialah simbol Melayu. Beruk pula adalah satu penghinaan yang amat jahat dan jijik. Ini bukan kebebasan media. Ini kegilaan yang nyata. Jangan jolok sarang tebuan! Kami bagi amaran,” ujarnya.

Sementara itu, Pemuda PAS Selangor akan mengadakan perhimpunan tunjuk perasaan di luar pejabat Nanyang Siang Pau di Petaling Jaya pagi esok, lapor Malaysiakini.

“PAS Pemuda Selangor menggerakkan semua pemuda dan menyeru umat Islam supaya bangkit dan mempertahankan maruah Islam,” katanya sambil menambah ia akan menyerahkan memorandum menuntut kenyataan meminta maaf.

Ketua Perhubungan PAS Nasrudin Hassan pula menyifatkan kartun berkenaan sebagai “kurang ajar dan melampau”.

“Nanyang Siang Pau mesti menarik balik kartun itu dan memohon maaf daripada umat Islam, terutama PAS,” katanya.

Beliau juga berkata, PAS mengkaji mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Cina yang dimiliki oleh seorang tauke balak Sarawak, Tiong Hew King.

Advertisements