Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Bidas Presiden Amanah

pas_youth_muktamar_9_1609

SHAH ALAM, 11 April – Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Nik Mohamad Zawawi Nik Salleh membidas Presiden Amanah, Mohamad Sabu ekoran mendakwa parti itu tersasar kerana tidak mewarisi ‘iman’ tokoh utamanya, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sambil menyifatkan Mohamad atau Mat Sabu sebagai ‘tidak mempunyai ilmu Islam yang mantap’, Nik Zawawi berkata, iman merupakan sesuatu yang terletak di dalam hati manusia serta ‘tidak berjangkit’.

“Kenyataan-kenyataan seumpama ini tidak menggambarkan seseorang itu mempunyai ilmu Islam dan dia (Mat Sabu) tidak faham agama kerana iman adalah suatu perkara yang berada dalam hati manusia, dan seseorang itu tidak dianugerah oleh Allah iman ini berjangkit antara satu sama lain,” katanya.

Mat Sabu ketika berucap di Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam berkata, bekas Mursyidul Am PAS itu seorang yang berpandangan jauh, baik dari segi urusan pentadbiran kerajaan negeri, malah soal strategi politiknya bersama parti lawan.

Beliau turut memberi contoh bagaimana PAS kini lebih mesra dengan Umno, satu perkara yang amat ditentang Nik Aziz ketika memimpin parti suatu ketika dahulu.

Nik Zawawi sebaliknya menegaskan, sekalipun jika Allahyarham Nik Aziz masih hidup kini, corak pemerintahan PAS tetap sama sebagaimana hari ini.

“Kalau Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz masih hidup sekarang, PAS jadi macam inilah, pergerakan yang sama, cara yang sama, hala tuju yang sama.

“Jadi kalau nak asingkan seolah-olah cara pembawakan Nik Aziz berbeza, sekarang berbeza, agama berbeza, ini satu kenyataan yang tidak bertanggungjawan, tidak menggambarkan profesional sebab parti politik ni kita ada dasar, kita bukan ikut individu,” tambah beliau.

PAS tegas Nik Zawawi, masih tidak tersasar daripada matlamat untuk memperjuangkan Islam, justeru ia tidak berkait rapat dengan ‘iman’ yang seperti yang disebut oleh Mat Sabu.

“Saya nak tegaskan, PAS ini kita ada dasar, ada dasar sendiri iaitu dasar Islam. Sesiapa sahaja yang memperjuangkan PAS termasuk Almarhum Tok Guru atau presiden yang ada sekarang dan generasi akan datang, selagi mereka bersama dengan PAS mereka duduk di atas landasan Islam,” katanya lagi.

Sementara itu, Nik Zawawi juga berkata adalah mustahil untuk Allahyarham Nik Aziz menyokong politik pembangkang dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagaimana yang didakwa Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa.

Tegasnya, Allahyarham Nik Aziz merupakan orang yang berpegang kuat kepada prinsip perjuangan Islam serta yang paling utama menentang penubuhan parti-parti baru ini kerana mampu memecah-belahkan masyarakat khususnya umat Islam.

“Tuan guru ini adalah orang yang sangat jaga-jaga benda ni, dan sebelum Almarhum meninggal dunia, dia sebut kepada saya secara langsung, bahawa menubuhkan parti-parti baru ini memecah-belahkan umat Islam dan hukum dia adalah haram,” kata beliau.

Advertisements