Pilih PAS Atau UMNO Jika Mahu Tadbir Malaysia – Hadi Awang

SHAH ALAM, 16 April – Mana-mana parti yang ingin mentadbir Malaysia perlu memilih untuk bekerjasama dengan PAS ataupun Umno, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS itu berkata, ini kerana kuasa politik orang Melayu terletak pada kedua-dua parti tersebut.

“Kuasa politik orang Melayu ada pada PAS dan Umno. Jika mana-mana parti nak tadbir Malaysia, pilih PAS atau Umno,” katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia.

Kata Hadi, PAS bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti, dengan syarat parti itu ‘terima Islam’.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan kesannya kepada kuasa politik orang Melayu memandangkan penubuhan parti baru itu dilihat akan memecahkan lagi undi orang Melayu.

PAS dan PPBM sebelum ini mengadakan rundingan untuk merintis kerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun ia ‘terhenti’ selepas parti teraju Tun Dr Mahathir Mohamad itu menyertai Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, mengenai hubungan dengan PKR, Hadi berkata kepimpinan pusat parti itu akan mendengar terlebih dahulu pandangan akar umbi semasa Muktamar di Kedah sebelum dibincangkan di peringkat kepimpinan parti.

Muktamar PAS Pusat akan berlangsung bermula 29 April hingga 1 Mei, di Kompleks PAS Kedah.

Pemuda PAS Johor adalah antara yang terbaru meluluskan resolusi untuk memutuskan hubungan dengan PKR, berikutan beberapa laporan media yang mendakwa 12 daripada 13 kawasan PAS di Pulau Pinang telah meluluskan resolusi yang sama.

Berhubung ucapan dasar yang akan disampaikan di Muktamar PAS tahun ini, Abdul Hadi berkata beliau akan menyampaikan mesej kepada perwakilan dan rakyat mengenai aspirasi PAS untuk ‘selamatkan negara dengan Islam’.

“Ini kerana, selepas terbuktinya kegagalan agama dan ideologi lain dalam menyelesaikan masalah ekonomi, politik dan moral, kini sudah tiba masanya Islam diberi peluang untuk menyelesaikan masalah negara.

“Kita mahu tukar sistem yang sedia ada dengan sistem Islam, tidak cukup sekadar tukar individu semata-mata,” katanya.

Advertisements