Dakwaan Dr Mahathir PAS Punca Perpecahan Orang Melayu Mengarut – Veteran PAS

SHAH ALAM, 20 April – Veteran PAS, Subky Abdul Latif sifatkan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya PAS punca Melayu berpecah, sebagai mengarut.

Bekas Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan ini lebih melihat perpecahan dalam kalangan kaum Melayu adalah kerana tidak berpegang teguh kepada prinsip dan ajaran Islam.

“Melayu ini berpecah kerana tidak berpegang dengan Islam bukan pasal PAS atau pasal lain.

“Kerana perpaduan itu dalam Islam, kalau orang Islam tak berpadu dalam Islam maka ia berpecah ,” katanya.

Justeru Subky bertegas kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sebagai mengarut dan tidak berasas.

“Jadi saya kira dia (Dr Mahathir) cakap mengarutlah dan tak boleh nak pakai sangat,” katanya.

Terdahulu, menerusi laman blognya, Dr Mahathir mendakwa peranan PAS hanyalah memecahbelahkan orang Melayu yang akhirnya menyebabkan kuasa politik Melayu berkurangan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada keengganan PAS menyertai gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (PH) menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kenyataan bekas Perdana Menteri itu bingkas disanggah beberapa pemimpin PAS dan mereka menyifatkan perpecahan orang Melayu berleluasa ketika Dr Mahathir memerintah negara sebelum ini.

Penganalisis politik yang dihubungi Antarapos juga berkata Dr Mahathir tidak perlu menuding jari kepada PAS, sebaliknya muhasabah kepimpinannya di masa lampau.

“Tuduhan dia pada PAS (kononnya) punca melayu berpecah, saya rasa dia kena tanya diri dia sendiri.

“Dia tidak perlu menuding jari pada sesiapa sebab bagi saya sebagai bekas Perdana Menteri, dia patut lebih sedar tentang kepentingan orang Melayu bersatu dan (beliau) tak patut menubuhkan parti baru (PPBM)”, kata Prof Datuk Dr Ramlah Adam.

Advertisements