MyKad Palsu Dijual Kepada Warga Asing


MELAKA, 28 April – Satu sindiket di sini telah menjual MyKad palsu kepada ramai warga asing, dengan mengenakan bayaran antara RM4,500 dan RM10,000.

Seorang lelaki yang didakwa telah berkhidmat dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selama 10 tahun telah menawarkan MyKad dan dokumen kewarganegaraan kepada pendatang haram serta warga asing yang menetap di sini melebihi tempoh yang ditetapkan.

The Star telah menyamar dan dapat berhubung dengan lelaki berkenaan yang dipercayai menjadi dalang sindiket itu, dengan berpura-pura menjadi seorang pendatang dari Indonesia yang berminat untuk mendapatkan beberapa MyKad dan dokumen kewarganegaraan.

Dalam perbualan telefon yang direkodkan, lelaki itu dengan bangganya memberitahu bahawa dia telah banyak membantu ramai warga Indonesia dan Kemboja mendapatkan MyKad dan dokumen kewarganegaraan asli secara haram semasa berkhidmat di JPN.

Dia meminta bayaran RM4,500 untuk permohonan kewarganegaraan dan menawarkan diskaun jika ‘pemohon’ dapat mencari lebih ramai ‘pelanggan’.

Dia juga meminta empat keping gambar ‘pemohon’ dan pemohon perlu mengisi borang permohonan kewarganegaraan dari JPN.

Setelah permintaannya ditolak, lelaki itu cuba memujuk wartawan untuk mengadakan pertemuan dan mengemukakan dokumen-dokumen kewarganegaraan, dengan mendakwa bahawa ibu pejabat di Putrajaya akan mempercepatkan permohonan.

Pasukan penyiasat bagaimanapun tidak memberikan sebarang tindak balas selanjutnya.

The Star menyedari tentang kewujudan sindiket itu melalui intipan kumpulan bukan berasaskan keuntungan, Persatuan Kebajikan dan Sosial (Perbak).

Perbak mempunyai maklumat mengenai kes seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dari Johor, Mohd Heril Abdullah, di mana ibu bapanya memperoleh sijil kelahiran palsu untuk dirinya melalui seorang ‘ejen’ pada tahun 2000.

Mohd Heril telah menggunakan sijil ini dan berjaya memohon pasport Malaysia pada tahun 2011 untuk perjalanan ke Indonesia.

Walau bagaimanapun, permohonannya untuk mendapatkan MyKad ditolak oleh JPN pada 2012 dan dia ditahan kerana percanggahan dikesan dalam sijil kelahirannya.

Pada masa yang sama, seorang pembaca pada tahun lepas mendakwa bahawa seorang warga asing di sekitar Masjid Tanah yang berada di Malaysia untuk tempoh kurang dari setahun telah menunjukkan MyKad miliknya yang kelihatan seperti asli.

Presiden Perbak Muhammad Khairul Hafiz berkata beliau telah mendengar mengenai puluhan warga asing yang ‘membeli’ kewarganegaraan pada harga antara RM5,000 dan RM10,000.

Muhammad Khairul kemudian mengesan beberapa warga Indonesia yang cuba untuk membeli MyKad dan dokumen kewarganegaraan dari sindiket itu.

Seorang wanita Indonesia berusia 42 tahun, yang hanya mahu dikenali sebagai Kelly mengakui bahawa dia adalah antara 15 warga Indonesia yang cuba untuk mendapatkan kerakyatan secara tidak sah.

Dia telah membawa The Star dan Muhammad Khairul ke Senai, Johor, untuk bertemu dua individu lain yang telah membuat bayaran tetapi tidak mendapat kewarganegaraan yang telah dijanjikan kepada mereka.

Kelly kemudian membawa pasukan penyiasat bertemu dengan salah seorang ejen di sebuah kawasan perumahan di Senai.

Wartawan Star berpura-pura menjadi ‘pelanggan’ yang berminat dan mendapatkan nombor telefon dalang daripada ejen terbabit.

Advertisements