Gabungan Parti Politik Kukuh, Berpengalaman Dan Sehaluan Bentuk Kestabilan – Najib Razak

najib-bn

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Kerajaan perlu dipimpin oleh gabungan parti politik yang kukuh, berpengalaman dan sehaluan untuk memastikan ekonomi negara membangun dan kebajikan rakyat terpelihara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kestabilan politik memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah negara.

“Antara faktor yang menentukan kestabilan politik adalah kerjasama antara parti politik dalam gabungan parti yang memerintah,” katanya dalam catatan terbaharu di blog rasminya bertajuk ‘Ucapan Perdana Menteri Mengenai Kestabilan Politik’.

Melihat kepada sejarah politik pakatan pembangkang di negara ini, Najib berkata mereka tidak mampu bertahan lama.

“Sejak tahun 1986, pembangkang sudah membentuk sembilan pakatan seperti Barisan Alternatif yang ditubuhkan pada tahun 1998 tetapi dibubarkan pada tahun 2008. Kemudiannya Pakatan Rakyat yang hidup sejak 2008 hingga 2015. Pakatan-pakatan ini terpaksa dibubarkan selepas beberapa tahun,” katanya.

“Yang lucunya, pembangkang kini didatangi parti kecil baru yang ingin menukar nama Pakatan Harapan. Pakatan apa pula yang akan timbul nanti?,” soal Najib.

Perdana Menteri berkata konflik dalaman pakatan pembangkang itu akan menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada rakyat.

“Kerajaan yang diperintah mereka berpecah-belah dan boleh mengakibatkan ekonomi merudum,” katanya.

Merujuk kepada situasi di Selangor pada masa ini, Najib berkata keadaan politik negeri itu sebenarnya tidak stabil sekiranya PAS atau DAP menarik diri daripada kerajaan, sekali gus menjejaskan kedudukan Menteri Besar dan kerajaan negeri.

“Kepimpinan yang tidak sehaluan akan mendorong Kabinet bertukar dengan kerap dan kesannya, kelangsungan perkhidmatan asas yang disediakan kerajaan akan terhenti atau tergugat,” katanya. – BERNAMA

Advertisements