Kepentingan Cukai Kepada Kerajaan Dan Rakyat

yourstory_itr
CUKAI merupakan satu instrumen ekonomi yang amat penting bagi sesebuah negara memperoleh hasil atau pendapatan.
Hasil daripada cukai ini digunakan oleh kerajaan untuk mentadbir dan mengurus sesebuah negara dan juga bagi digunakan untuk perbelanjaan pembangunan.

Cukai yang dikutip dibelanjakan oleh kerajaan bagi tujuan keselamatan negara dan rakyat, pembangunan fizikal dan infrastruktur seperti jalan raya, hospital, sekolah serta pembangunan ekonomi dan sosial seperti perkhidmatan kesihatan, pendidikan, kebajikan rakyat dan banyak lagi.

Oleh itu kita perlu faham yang hasil cukai yang diperoleh kerajaan melalui kutipan terhadap rakyat, kemudiannya akan dapat dimanfaatkan dan dinikmati kembali oleh kita sebagai rakyat.

Cukai adalah suatu yang tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan kita, pentadbiran negara dan ekonomi.

Malah, jika kita melihat isu cukai ini dengan lebih mendalam, kita akan dapat melihat bahawa orang yang mendapat manfaat daripada cukai yang dikutip kerajaan ialah diri kita sendiri.

Secara ringkasnya, cukai ialah kunci kepada pentadbiran negara yang berkesan. Namun, sebelum kita boleh menerima cukai dengan hati yang terbuka, seseorang itu perlulah faham bagaimana dan kenapa cukai digunapakai di sesebuah negara.

Antara tanggungjawab kerajaan – yang memerlukan pendapatan dari cukai – ialah untuk membina sekolah sebagai tempat untuk mendidik kanak-kanak.

Cuba kita bayangkan di manakah kita sekarang, jika kerajaan mengabaikan tanggungjawab ini?

Selain daripada itu, kerajaan juga memperuntukkan dana untuk menyediakan infrastruktur asas seperti membina jalan yang menghubungkan kampung, pekan dan bandar dengan kawasan sekitarnya, dan membolehkan aktiviti perdagangan berlaku antara kawasan-kawasan tersebut.

Kerajaan juga bertanggungjawab untuk membina kemudahan awam seperti pasar untuk memberi ruang kepada rakyat untuk berniaga dan menjalankan kegiatan ekonomi mereka.

Peniaga tempatan akan mendapat keuntungan apabila barangan import dikenakan cukai, ini kerana ia akan menggalakkan pengguna untuk memilih barangan tempatan yang lebih murah.

Ia adalah satu strategi perdagangan yang penting digunakan oleh negara-negara di seluruh dunia dalam menjaga kepentingan rakyat tempatan. Selain itu, cukai import itu boleh meningkatkan pendapatan sesebuah negara.

Advertisements