Bukti Suara Anak Muda Tiada Tempat Dalam PPBM – Kamarulazman

 

Kamarulzaman-Habibur-Rahman_ppbm_600

SHAH ALAM, 15 Jun – Isu yang menimpa Exco Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Muhammad Hafiz Azhar memberi gambaran bahawa suara anak muda sukar untuk diketengahkan dalam parti teraju Tun Dr Mahathir Mohamad itu, kata bekas ahli, Kamarulazman Habibur Rahman.

Kamarulazman berkata, tindakan Armada yang mahu mengheret exco itu ke lembaga disiplin ekoran menggesa penjelasan dua pemimpin tertinggi parti bersabit isu yang membelenggu mereka, jelas mencerminkan parti itu tidak mengamalkan ketelusan.

Kamarulazaman yang juga bekas Setiausaha Kerja PPBM mendedahkan, sepanjang penyertaan beliau bersama parti itu sebelum ini, sememangnya suara anak muda tidak begitu ‘dilayan’ kerana wujud golongan pemimpin yang merasakan diri mereka lebih senior dan berpengalaman berbanding pimpinan baru.

“Dari pengalaman saya berada dalam PPBM saya dapati bahawa apa yang sering berlaku ialah mereka yang telah ada pengalaman lama dalam politik, mereka sering mendakwa bahawa mereka lebih memahami politik daripada mereka yang baru masuk menceburi bidang politik ini.

“Ini saya sedar ketika saya berada dalam PPBM, di mana suara terutamanya anak-anak muda sangat-sangat tidak dapat pergi jauh. Sedangkan kalau kita nak fikirkan bahawa anak-anak muda ini perlu diberikan kebebasan untuk menyatakan hasrat dan wawasan mereka kerana ini adalah era mereka.

“Jadi sekiranya kalau tindakan diambil oleh seseorang yang bertanyakan sesuatu yang ingin diketahui oleh umum maka ini tidak mencerminkan bahawa parti ini adalah sebuah parti yang membawa memperjuangkan kebenaran, ketelusan dan sebagainya,” katanya.

Baru-baru ini, Exco Armada PPBM, Muhammad Hafiz Azhar menyuarakan kekesalannya kerana menyertai parti berkenaan yang disifatkan sebagai menyekat kebebasan anak muda untuk bersuara.

Jelasnya, tindakannya sebelum ini yang menggesa penjelasan Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersabit isu berbangkit, hanyalah sekadar membawa suara akar umbi.

Beliau sebelum ini tampil mendesak Dr Mahathir untuk menjelaskan tuduhan mengenai kekayaan anak-anaknya yang diperoleh dalam masa yang singkat, manakala Muhyiddin pula wajar menjelaskan tuduhan skandalnya dengan seorang wanita.

Susulan itu, Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil memaklumkan bahawa sayap itu akan merujuk Lembaga Disiplin berhubung tindakan Muhammad Hafiz.

Menurut Syed Saddiq, pelbagai forum diadakan bagi memberi peluang ahli parti mengajukan soalan, namun ujarnya, tidak ada satu pun yang dihadiri Muhammad Hafiz.

Mengulas lanjut, Kamarulazman berkata parti itu kini diibaratkan ‘retak menanti belah’ dan kemelut berkenaan hanyalah titik permulaan berikutan amalan kronisme yang tidak berpenghujung dalam parti itu.

“Ini bukan di pengakhiran, ini di awalannya. Ini tidak menghairankan saya kerana akan ada lagi yang sudah bersusah payah berada di dalam parti yang berusaha untuk parti tetapi akhirnya diketepikan disebabkan mereka bukanlah kroni-kroni tertinggi kepimpinan parti.

“Maka akan ada lagi yang akan rasa tidak puas hati.

“Jadi saya rasa akan ada lagi yang lebih ramai yang akan keluar daripada parti ini. Lihatlah. Dari awal saya pernah berkata akan ada ramai lagi keluar dan hari ini terbukti dan hari ini saya mengatakan bahawa ianya tidak berakhir disini. Akan ada lebih ramai lagi,” tambahnya.

Kamarulazman, salah seorang pengasas PPBM, mengisytiharkan untuk keluar parti pada April lalu selepas kecewa dengan amalan kronisme dan pilih kasih di dalam PPBM.

Beliau juga mengumumkan peletakan kesemua jawatannya di dalam parti, termasuk sebagai ahli majlis pemimpin tertinggi PPBM dan Setiausaha Kerja PPBM pusat.

Menyusul langkah Kamarulazman, kira-kira 1,000 ahli termasuk pemimpin PPBM di Perak bertindak melakukan perkara yang sama apabila dikatakan tidak berpuas hati dengan kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Advertisements