Pergeseran Nazri Aziz Dengan Kerajaan Negeri Sabah Dan Sarawak Selesai – Zahid Hamidi

nazri-abdul-karim-sarawak-1

PUTRAJAYA, 16 Jun – Pergeseran membabitkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dengan kerajaan Sabah dan Sarawak berhubung isu cukai pelancongan sudah selesai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam mesyuarat Kabinet semalam mengarahkan supaya masalah itu diselesaikan dan tiada lagi kenyataan dikeluarkan, sama ada oleh pemimpin kerajaan pusat atau negeri.

“Saya juga sudah berjumpa Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Musa Aman) dan Ketua Menteri Sarawak (Datuk Abang Johari Abang Openg) semalam secara peribadi.

“Kita sudah tutup buku dan buka buku baharu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Bengkel Pembaharuan Pendidikan Islam Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pelaksanaan cukai pelancongan itu akan tetap diteruskan seperti dijadualkan bermula 1 Julai ini.

“Kita merasakan bahawa masalah promosi pelancongan ini memerlukan dana dan terdapat negeri yang mempunyai kutipan cukai yang sedikit dan ada negeri yang banyak.

“Apa pun (hasil cukai) akan diguna pakai untuk promosi produk pelancongan, bukan hanya mengikut negeri tetapi mengikut bidang atau kepentingan produk pelancongan,” katanya.

Ditanya sama ada Sarawak menarik balik keputusannya untuk keluar dari Tourism Malaysia, Ahmad Zahid menegaskan perkara itu sudah selesai dan tidak berbangkit lagi.

Advertisements