Tindakan Tegas Akan Diambil Atas Kematian Nhaveen – Najib Razak

T-Nhaveen-1

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keadilan dan tindakan tegas akan diambil berikutan kematian T. Nhaveen, 18, yang dipukul dengan ganas dalam serangan oleh sekumpulan lelaki di  Jalan Kaki Bukit, Georgetown Sabtu lepas.

Remaja itu meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang pada 6 petang Khamis.

Menyatakan rasa sedihnya atas kematian T.Nhaveen, Najib mengucapkan takziah kepada keluarganya.

“Sedih mendapat berita kematian T.Nhaveen. Takziah kepada keluarganya. Keadilan dan tindakan tegas akan diambil terhadap penyerangnya,” kata beliau dalam catatan di Twitter.

Dalam kejadian itu yang berlaku pada 2.10 pagi, mangsa dan seorang lain, masing-masing berusia 18 dan 19 tahun, sedang membeli burger bila mereka ternampak dua lelaki yang mereka kenali dan mereka mula ejek-mengejek, sebelum enam suspek lain tiba.

Dua mangsa itu dipercayai telah dipukul dengan helmet, serta ditumbuk dan ditendang oleh kumpulan itu sebelum mangsa berusia 19 tahun sempat melarikan diri dan memberitahu bapa  saudaranya  mengenai  kejadian itu. -Bernama

Advertisements