Insentif Kepada Felda Hasil Titik Peluh, Masyarakat Tidak Wajar Cemburu

felda-worker

TANJUNG MALIM, 4 Ogos – Masyarakat luar tidak sewajarnya mencemburui segala imbuhan serta insentif yang diberikan kepada warga Felda kerana mereka tidak merasai jerit perih yang dilalui peneroka sebelum ini.

Ketua Peneroka Felda Wilayah Trolak dekat sini, Sulong Jamil Mohd Shariff berkata tidak dinafikan ‘hadiah demi hadiah’ yang diberikan kerajaan mengundang perasaan iri hati dalam kalangan pihak tertentu.

“Orang luar tidak perlulah iri hati sebab duit yang kerajaan beri itu bukanlah duit rakyat, tetapi dari Felda sendiri hasil penat lelah peneroka yang dipulangkan semula kepada mereka,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Sulong Jamil yang merupakan generasi pertama Felda Sungai Behrang berkata para peneroka perlu sentiasa bersyukur, berlapang dada dan bersatu hati mempertahankan apa yang dimiliki.

“Paling penting janganlah mempercayai fitnah yang memburukkan nama baik tanah rancangan ini.

“Ambillah iktibar daripada sebilangan peneroka yang keluar dari Felda. Disebabkan mempercayai persepsi salah itu akhirnya mendatangkan masalah dan kerugian kepada diri sendiri,” katanya.

Beliau menarik perhatian apabila secara sinis berkata ‘keprihatinan’ yang ditunjukkan orang luar khususnya pembangkang terhadap masalah warga Felda hanya satu agenda politik.

“Mereka mendakwa berlaku penipuan oleh kerajaan, hak peneroka dinafikan dan menghasut peneroka menuntut imbuhan lebih besar daripada yang diumumkan. Ini semua agenda tersembunyi,” katanya.

Sulong Jamil yang juga Timbalan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan berkata walaupun kerajaan dan pihak pengurusan Felda melakukan pelbagai inisiatif termasuk memberi penerangan dan penjelasan, tidak dinafikan, masih ada peneroka yang mempercayai persepsi salah serta menentang kerajaan.

“Tidak dinafikan ada beberapa kelemahan dalam pentadbiran Felda, namun terdapat cara berhemah untuk menyuarakan ketidakpuasan hati dan bukannya dengan cara menjatuhkan Felda yang sudah banyak berjasa membela nasib peneroka,” katanya.

Semasa sambutan Hari Peneroka peringkat kebangsaan 2017 pada 23 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan enam insentif untuk peneroka dan warga Felda dalam memastikan keselesaan dan kebajikan golongan itu sentiasa terjaga.

Menerusi insentif terbaru ini yang diumum Perdana Menteri, peneroka antaranya menikmati pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.

Najib turut memberi peluang kepada 17,679 peneroka yang tidak menghantar hasil kepada Felda dan peneroka yang menyaman Felda, untuk kembali bermuafakat bagi tempoh enam bulan, bermula Ogos ini untuk layak menerima enam insentif bermula Februari tahun hadapan.

Menyentuh mengenai saranan kembali bermuafakat itu, Sulong Jamil berkata niat baik Perdana Menteri sememangnya dihargai kerana beliau sedia memberi peluang kepada kumpulan peneroka menentang untuk kembali bernaung di bawah Felda.

“Rebutlah peluang bersama Felda kerana banyak kemudahan boleh dinikmati, jangan kering sangat hati itu. Mereka yang keluar (dari Felda) dulu kerana hati panas dan saya percaya ikutkan hati mereka menyesal sebenarnya,” katanya.

Sulong Jamil berkata daripada 17,679 peneroka yang dimaksudkan, sebanyak 90 peratus telah disenarai hitam kerana menentang kerajaan, manakala baki 10 peratus menguruskan ladang sendiri tanpa bantuan Felda.

“Oleh itu, saya mencadangkan kepada pengurusan tengoklah sebaiknya perkara ini, janganlah anggap orang ini dikategorikan sebagai kumpulan menentang dan kumpulan tidak bersama Felda,” katanya. – Bernama

Advertisements