Pesta F&B Jerman Diteruskan Walaupun Polis Batal Surat Sokongan – Exco Selangor

beer

SHAH ALAM, 2 Okt – Pesta Makanan dan Minuman Jerman anjuran Centro Mall tetap akan diteruskan mengikut kelulusan yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebelum ini.

Exco Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, walaupun polis mengeluarkan surat pembatalan sokongan kepada majlis itu, tetapi penganjur mahu meneruskan acara berkenaan.

Ujar beliau, keputusan itu dibuat memandangkan pesta sama sudah dianjurkan selama enam tahun berturut-turut tanpa sebarang isu yang dicetuskan seperti kali ini.

“Sudah enam tahun dan tiada masalah, ini bukan kali pertama. Sebelum ini, permohonan, kelulusan dan pesta berjalan lancar malah ada pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengawal keselamatan.

“Pendirian penganjur ialah akan teruskan (Pesta Makanan dan Minuman Jerman), sebab saya difahamkan mereka sudah memperoleh surat kebenaran permit sementara dari MPK bertarikh 28 September lalu, berserta 20 syarat dan bayaran RM400.

“Tetapi bayaran itu belum dijelaskan kerana MPK menangguhkannya berikutan kenyataan polis menarik balik sokongan permohonan berkenaan.

“Saya minta polis jangan menarik balik surat mengeluarkan surat sokongan supaya pihak penganjur dapat meneruskan proses seterusnya iaitu membuat bayaran,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis seharusnya bertindak bebas daripada sebarang gangguan pihak politik.

“Polis Klang Utara kata terpaksa menarik balik kerana mendapat arahan dari Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri tetapi selepas itu, beliau (Ahmad Zahid) pula kata ini isu teknikal dan operasi, kena tanya polis.

“Polis dalam keadaan keliru dan ulasan mereka tidak boleh dipercayai serta tidak meyakinkan. Apabila dia tidak dapat bertindak dengan profesional, bagaimana kita boleh terima ulasan mereka,” katanya.

Chang Khim berkata, tiada isu ketenteraman awam kerana umat Islam tidak dibenarkan menyertai pesta itu, selain ia dianjurkan secara tertutup.

Sementara itu, sebaik selesai sidang media, Chang Khim menunjukkan surat pembatalan kebenaran mengadakan pesta berkenaan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara yang bertarikh 29 September dan diterima hari ini.

Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada ia bermaksud surat pembatalan sokongan, Chang Khim berkata, surat itu hanya membatalkan alamat penyampaian semata-mata.

Advertisements