Lim Guan Eng Tidak Sepatutnya Bertanding CEC Selepas Berhadapan Dengan Tuduhan Rasuah

LimGuanEng1805e

GEORGE TOWN, 19 Okt – Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tidak sepatutnya bertanding pada pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu kerana sedang menghadapi dua pertuduhan rasuah, kata Naib Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP) Rahmad Isahak.

Beliau berkata atas dasar integriti dan maruah, ketua menteri Pulau Pinang itu seharusnya mengecualikan dirinya sebagai calon pada CEC dijadual November ini walaupun senarai calon terbabit berasaskan pada pemilihan Disember 2012.

“Secara rasionalnya mengecualikan dirinya sebagai calon adalah contoh terbaik … pada ketika beliau sedang berhadapan dengan dua pertuduhan rasuah walaupun Guan Eng enggan melepaskan jawatannya sebagai ketua menteri.

“Malah beliau juga perlu menolak sebarang jawatan dalam parti berasaskan kepada lantikan oleh 20 pemegang jawatan CEC setelah pemilihan parti bagi kali ke-3 kelak selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rahmad berkata kini merupakan masa terbaik seorang pemimpin seperti Guan Eng mentransformasikan soal akhlak mulia serta elemen integriti mahupun kredibiliti dan maruah.

“Jangan jadikan alasan bahawa senarai pemilihan Disember 2012 sebagai satu kewajipan untuk beliau menjadi calon disebabkan atas arahan pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), tetapi adalah menjadi hak eksklusif beliau untuk menentukan kedudukannya dari sudut maruah sendiri serta parti.

“Tidak mungkin timbul soal pentadbiran DAP akan menjadi cacat tanpa penglibatan Guan Eng kerana sebelum ini pun kecacatan terhadap dua pemilihan tidak diiktiraf oleh RoS adalah di ketika beliau menjadi setiausaha agung,” katanya.

Guan Eng dalam sidang akhbar khas di Kuala Lumpur baru-baru ini mengumumkan pemilihan semula CEC DAP akan diadakan 12 Nov ini di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam selepas dipersetujui RoS.

Advertisements