Shafie Apdal Direman Empat Hari Oleh SPRM

Screen Shot 2017-10-20 at 8.39.17 PM

KOTA KINABALU, 20 Okt – Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana RM1.5 bilion untuk projek pembangunan luar bandar di Sabah.

Terdahulu, Shafie tiba dari Hospital Queen Elizabeth dengan menaiki ambulan di mahkamah di sini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Shafie yang berkemeja putih dan berseluar hitam, disambut penyokongnya yang mengenakan kemeja-t oren serta melaungkan “Selamat Hari Jadi” sebaik beliau tiba kira-kira pukul 2.15 petang Jumaat.

Beliau yang berusia 60 tahun pada Jumaat dibawa ke hospital untuk pemantauan semalaman susulan tekanan darahnya yang meningkat, selepas penahanannya pada Khamis malam.

Bekas menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu merupakan individu ke-10 yang ditahan susulan siasatan rasuah berkenaan.

SPRM dijangka melakukan beberapa tangkapan lagi melibatkan 350 projek yang diagihkan kepada 60 syarikat antara 2009 dan 2015.

Keseluruhannya dana projek yang disalurkan itu mencecah RM7.5 bilion.

Suruhanjaya itu telah membekukan RM170 juta dalam akaun bank dan aset syarikat terlibat.

Advertisements