BN Perlu Elak ‘Status Quo’ Untuk Menang Besar Pada PRU14

NAJIB RAZAK / JENTERA JALINAN RAKYAT PLUS / JR PLUS

UNTUK memenangi pilihan raya akan datang, semua parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu berkorban dan bertolak ansur.

Istilah ‘kerusi tetap’ dalam mana-mana kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk sesuatu kaum tidak relevan lagi buat era politik terkini. Maka komponen BN perlu berfikiran terbuka dan tidak mengharapkan ‘status quo’ dalam agihan kerusi.

Konsep status quo atau mempertahankan kedudukan kerusi pilihan raya sedia ada atas dasar ‘semangat BN’ sudah tidak sesuai dalam trend sokongan politik masa kini. Kajian menunjukkan bahawa 63 peratus pengundi berdasarkan calon berbanding 37 peratus berasaskan parti politik.

Malahan faktor calon tanpa memikirkan aspek kaum atau keturunan adalah elemen penting penilaian dalam political anxiety berbanding dengan faktor isu atau sentimen, janji atau manifesto serta indikator ekonomi-politik.

Calon anak tempatan, sentiasa bersama pengundi, dekat di hati pengundi dan mampu membawa perubahan antara ciri-ciri pemilihan dalam kalangan pengundi.

Pengundi mempunyai cara pemilihan tersendiri berbanding apa yang difikirkan oleh pekerja parti politik. Kebanyakan parti politik sering mencalonkan ketua bahagian dan dalam kalangan jawatankuasa tertinggi bahagian sebagai calon. Namun kajian menunjukkan bahawa pengundi tidak meletakkan mereka sebagai pilihan utama.

Bagi pengundi yang tidak menganggotai mana-mana parti politik pula mengundi seseorang calon berdasarkan apa yang mereka akan peroleh dan memberi manfaat kepada rakyat. Mereka tidak lagi mementingkan perkhidmatan dan sumbangan bakal calon terhadap parti politik selama ini.

PENGUNDI ATAS PAGAR

Perlu dinyatakan bahawa dianggarkan 61 peratus pengundi yang tidak menganggotai mana-mana parti politik layak mengundi pada PRU14 nanti. Maka mereka adalah pengundi penentu kemenangan mana-mana parti politik yang bertanding.

Mereka juga yang menjadi ‘rebutan’ mana-mana parti politik untuk menyokong dan mengundi pada pilihan raya yang dianggap penentu kelangsungan BN. Kecenderungan mana-mana parti politik menggelarkan mereka sebagai pengundi penentu atau pengundi atas pagar kerana bukan ahli parti politik.

Sehubungan dengan itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN dalam Pemukiman Jentera BN Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kelmarin, mengingatkan agar komponen BN perlu bertolak ansur dalam pembahagian kerusi pilihan raya.

Parti komponen perlu bersikap bertoleransi dalam soal kuota kerusi untuk bertanding berdasarkan kaum dan memberi fokus kepada matlamat untuk memastikan kemenangan dua pertiga BN pada pilihan raya umum itu.

BN perlu bersedia dengan transformasi pemikiran dan harus menghentikan amalan ‘status quo’ yang diamalkan pada PRU selama ini. Beberapa keputusan PRU12 dan PRU13 lalu menunjukkan pendekatan penentuan kerusi berdasarkan ‘status quo’ tidak menjamin kemenangan.

Dek kerana mementingkan status quo, BN ‘terpaksa’ meletakkan sesuatu calon berdasarkan kaum, sedangkan pengundi sudah membuat keputusan “awal-awal lagi” untuk tidak mengundi calon berkenaan atas beberapa faktor dan mengundang kekalahan.

Sehubungan dengan itu, BN perlu membuat kajian dan mengumpul suara dan pendapat pengundi. Kajian ‘voting trend’ dan ‘popular vote’ terhadap bakal calon dan parti yang layak mengundi pada sesuatu kawasan pilihan raya perlu diambil kira.

DENGAR PILIHAN PENGUNDI

BN perlu mendengar pilihan pengundi. Bukan hanya mendengar dan merujuk ketua bahagian atau segelintir insan sekeliling sahaja. Untuk memenangi PRU14, kepemimpinan BN perlu juga berfikiran terbuka dan “adil” terhadap semua pihak. Kekuatan komponen BN sebenarnya lebih tertumpu kepada suara pengundi dan pilihan rakyat.

Kekalahan beberapa kerusi BN semasa PRU14 perlu menjadi iktibar dan pengajaran. Di harap tiada lagi calon “payung terjun” yang dihalakan oleh pihak atasan tanpa restu kepemimpinan BN di kerusi parlimen.

Usaha memastikan BN menang dengan majoriti dua pertiga pada PRU14 meletakkan indikator agar warga kerja BN bekerja lebih kuat dan bersistematik. Semangat agar komponen BN lebih proaktif dan mempopular jenama BN bukan menonjolkan nama parti politik.

Eloklah komponen BN bermusyawarah lebih awal dalam penentuan calon dan kerusi untuk ditandingi. Jangan di saat akhir keputusan dibuat menyebabkan wujud sabotaj dan ‘ceh keting” dengan keputusan dibuat nanti. – Prof Madya Dr Ismail Sualman

Penulis adalah Felo Australian Academy of Business Leadership, Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.