Bajet 2018 Bukti Rintihan Rakyat Didengar Kerajaan

Bajet-20181

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Intipati Bajet 2018 disifatkan mengambil kira permasalahan rakyat yang dibangkitkan pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, berkata Bajet 2018 membuktikan kecaknaan kerajaan dalam menangani rintihan rakyat apabila semua golongan mendapat manfaat menerusi pelbagai peruntukkan diberikan kerajaan.

“Sebagai wakil rakyat luar bandar yang mewakili pesawah padi, ini adalah pertama kali Kerajaan Persekutuan memperkenalkan bayaran RM200 selama tiga bulan dalam tempoh pesawah untuk mengutip hasil tuaian.

“Sebelum ini hanya nelayan diberi elaun sedemikian, tetapi Alhamdulillah kali ini giliran pesawah padi menerima manfaat dalam tempoh tanam padi hingga menuai berikutan kebanyakan mereka tiada pendapatan,” katanya.

Noh berkata, menerusi pembentangan Bajet 2018 juga, kerajaan mendengar masalah dan rintihan pesawah padi.

“Selain itu, saya ucapkan terima kasih kerana kerajaan mendengar masalah rakyat dalam bandar terutama keluhan Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang mahu pengecualian GST untuk pengurusan.

“Minggu lalu, satu konvensyen JMB diadakan dan semua mengusulkan supaya mereka diberi pengecualian cukai.

“Hari ini diumumkan segala urusan yang dibuat pengurusan rumah strata dikecualikan daripada membayar GST,” katanya.

Beliau berkata, suara rakyat bandar untuk terus diberikan pembelaan akhirnya didengari kerajaan apabila Perdana Menteri mengumumkan RM200 juta untuk penyelenggaraan dan pembaikan rumah kos rendah termasuk flat berusia 20 tahun.

Advertisements