Najib Razak Dan Isteri Lawat Anwar Ibrahim Di Hospital

Screen Shot 2017-11-17 at 8.41.56 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini.

“Saya melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Kuala Lumpur hari ini.

“Beliau baru selesai menjalani pembedahan beberapa hari yang lalu. Semoga beliau cepat pulih,” katanya menerusi entri di laman Facebook dan akaun Twitter beliau.

Dalam lawatan itu, Najib ditemani isterinya Datin Seri Rosmah Mansor manakala isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut berada di wad berkenaan.

Anwar sebelum ini dimasukkan ke HKL untuk menjalani pembedahan di bahagian bahu kanannya selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada bulan September lalu.

Anwar selamat dibedah pada Isnin lalu selepas dimasukkan ke HKL tiga hari sebelum itu.

Sementara itu, anak Anwar, Muhammad Ihsan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas ziarah Najib terhadap Anwar.

“Bagi pihak keluarga saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri dan isteri yang sempat menziarah ayah kami yang sedang menjalani rawatan selepas pembedahan bahu.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon supaya Kerajaan Malaysia mempertimbangkan agar ayah kami dibenarkan mendapat rawatan di luar penjara untuk memastikan beliau sembuh sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Ihsan turut menzahirkan penghargaan buat pasukan pakar perubatan serta staf HKL beserta kakitangan penjara di atas rawatan dan pemulihan ayahnya itu.

Advertisements