Jawatankuasa Khas Banteras Jenayah Siber Bersidang Kali Pertama – Salleh Said Keruak

Jenayah Siber

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Jawatankuasa Khas Jenayah Siber telah ditubuhkan bagi membanteras dan menangani jenayah siber di negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang mempengerusikan jawatankuasa khas itu berkata, ia perlu agar tindakan penguatkuasaan kesalahan jenayah siber seperti siasatan dan pendakwaan dapat diselaraskan di bawah satu jawatankuasa serta boleh dilaporkan terus kepada Jemaah Menteri.

“Pada masa ini, tidak ada satu agensi khusus yang menerajui penguatkuasaan berhubung isu jenayah siber,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Jenayah Siber di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Katanya penubuhan jawatankuasa khas itu telah dipersetujui oleh mesyuarat Jemaah Kabinet 3 November lepas.

Salleh berkata, mesyuarat hari ini turut meluluskan fungsi-fungsi bagi Jawatankuasa Khas Jenayah Siber termasuk menjadi ‘focal point’ kepada Jemaah Menteri dalam urusan berkaitan jenayah siber, memberikan khidmat nasihat berkaitan dasar, serta strategi menangani dan membanteras jenayah siber kepada Jemaah Menteri.

Selain itu, katanya ia bagi memastikan perkongsian maklumat yang efisien di antara agensi penguatkuasaan, mengoptimumkan pelbagai sumber terutama kepakaran di antara agensi penguatkuasaan, mengkaji keperluan menilai semula undang-undang sedia ada bagi menentukan tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan sesuai dengan perubahan teknologi maklumat; dan menyediakan laporan jawatankuasa untuk dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet.

“Mesyuarat juga bersetuju bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bertindak yang diterajui NACSA bagi membincangkan perkara-perkara untuk diputuskan pada peringkat jawatankuasa khas,” katanya.

Salleh berkata Jawatankuasa Khas Membanteras Penyalahgunaan Media Sosial akan digabungkan dengan Jawatankuasa Khas Jenayah Siber memandangkan kedua-dua jawatan kuasa itu mempunyai tugas dan tanggungjawab yang hampir sama.

Beliau berkata anggota bagi jawatan kuasa khas berkenaan terdiri daripada pelbagai kementerian dan agensi iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Peguam Negara, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan.

Anggota jawatankuasa tambahan terdiri daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK); Suruhanjaya Sekuriti Malaysia; Bank Negara Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.