Najib Razak Iktiraf Keupayaan Golongan Muda Dalam Menjayakan TN50

TN50

KUALA LUMPUR 14 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi pengiktirafan kepada golo­ngan pereka cipta muda dan usahawan muda negara sebagai kumpulan yang berdiri di barisan hadapan dalam menjayakan program Transformasi Negara 2050 (TN50).

Justeru itu kata beliau, kerajaan akan terus memberi penekanan kepada usaha meningkatkan kreativiti dan inovasi dalam kalangan masyarakat untuk menjana peluang ekonomi baharu dan membawa negara ke tahap lebih tinggi.

“Jelas, kita mempunyai begitu banyak usahawan muda yang berbakat dan kita mesti memastikan kebolehan mereka terus dipupuk agar mereka dapat melakar kejayaan,” katanya semasa merasmikan Persidangan Komuniti Keusahawanan Global 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Ashran Ghazi.

Najib berkata, antara bakat muda yang berjaya membuktikan kejayaan dalam bidang inovasi dan keusahawanan adalah pelajar Universiti Malaya, Noorain Said yang menghasilkan lilin organik buatan sendiri iaitu produk untuk menanggalkan bulu roma.

Katanya, pencapaian Noor­ain yang mengasaskan perniagaan Norah Beautyline itu turut mendapat pengiktirafan dalam Anugerah Keusahawanan anjuran Kementerian Pengajian Ting­gi dalam kategori Perniagaan Pelajar Terbaik tahun lalu.

Beliau berkata, kerajaan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) telah melaksanakan pelbagai inisiatif inovasi untuk menangani pelbagai isu ekonomi dan sosial secara lebih berkesan.

Advertisements