Kerajaan Tidak Akan Menaikan Tarif Elektrik Di Semenanjung Sehingga 2020

tnb_M-600x360

KOTA KINABALU, 26 Dis – Kadar tarif elektrik di Semenanjung tidak akan dinaikkan hingga 31 Disember 2020 manakala kadar sedia ada kekal di Sabah dan Labuan selama enam bulan bermula Januari ini sehingga Jun 2018.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili berkata, bagi kedua-dua tempoh tersebut kadar tarif di Semenanjung kekal 38.53 sen setiap kilowatt-sejam (kWj) manakala 34.52 sen/kWj bagi Sabah dan Labuan.

Katanya, bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2018, kerajaan akan memberi rebat sebanyak 1.52 sen/kWj kepada semua pengguna dengan jumlah keseluruhan bernilai RM929.37 juta.

“Pengguna di Sabah dan Labuan juga akan menikmati rebat tarif elektrik sebanyak RM1.20 sen/kWj sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dengan keputusan itu, Maximus berkata, pengguna di Semenanjung tidak akan mengalami sebarang perubahan dalam bil elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2018, jika mereka mengekalkan penggunaan elektrik sedia ada.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, kerajaan telah memberikan rebat berjumlah RM6.3 bilion kepada pengguna di Semenanjung bagi tempoh Mac 2014 hingga Jun 2018 dan RM1.631 bilion bagi pengguna di Sabah dan Labuan bagi tempoh Mac 2015 hingga Jun 2018.

Advertisements