DAP Hanya Mahu Kuasa, Bukan Berkhidmat Kepada Rakyat

dap-flag-m-2

SHAH ALAM, 18 Mac – Ternyata DAP hanya berniat untuk menang semata-mata dan bukannya mahu berkhidmat kepada rakyat yang mengundi mereka, demikian kata penganalisis politik, Azmi Hasan.

Katanya, langkah DAP yang mahu meletakkan Liew Chin Tong di kerusi Parlimen Ayer Hitam pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), jelas menunjukkan parti itu tidak serius dalam melaksanakan mandat yang diberikan rakyat tetapi hanya mahu mengalahkan Barisan Nasional (BN) sahaja.

“Kalau kita lihat ciri-ciri dan cara mereka membahagikan kerusi, satu perkara yang amat nyata adalah calon mereka itu sebenarnya bukan untuk memberikan khidmat terbaik kepada pengundi kawasan tersebut, dan ini termasuk pencalonan di Ayer Hitam itu.

“Mereka akan lakukan apa sahaja asalkan kemenangan pada kawasan tersebut mereka boleh perolehi,” katanya ketika dihubungi.

DAP menerusi Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng hari ini mengesahkan Chin Tong diletakkan di kerusi Parlimen Ayer Hitam untuk mencabar Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong pada PRU14.

Ini merupakan kali kedua Chin Tong lari meninggalkan kawasan yang ditandinginya, sekali gus hanya berkhidmat satu penggal di setiap kerusi yang dimenanginya.

Chin Tong pada Pilihan Raya Umum 2008 memenangi kerusi Parlimen Bukit Bendera, Pulau Pinang sebelum berpindah ke Johor dan bertanding di kerusi Parlimen Kluang pada 2013.

Bermakna, ini merupakan kali ketiga Ching Tong akan berpindah kerusi.

Dalam DAP, budaya ‘menang dan lari’ ini juga menjadi amalan Lim Kit Siang yang sering bertukar kerusi parlimen sejak menyertai arena politik.

Untuk rekod Kit Siang pernah menjadi ahli parlimen di kerusi Bandar Melaka (1969 – 1974), Kota Melaka (1974 – 1978), Petaling Jaya (1978 -1982), Kota Melaka (1982 – 1986), Tanjong (1986 – 1999), Ipoh Timur (2004 – 2013); dan Gelang Patah (2013 – sekarang).

Jika dicongak, Kit Siang menjadi ahli parlimen hanya untuk tempoh sepenggal sahaja di kerusi parlimen Bandar Melaka, Kota Melaka, Petaling Jaya dan kemudian kembali semula ke parlimen Kota Melaka, juga untuk tempoh sepenggal.

“Menjadi perhitungan paling besar bagi mereka adalah kemenangan, sebab itu calon mereka boleh berpindah-randah dan calon mereka kadang-kala banyak yang bukan daripada kawasan itu kerana mereka bertanding atas parti bukan khidmat calon tersebut.

“Modus operandi mereka untuk menang dan menghancurkan pihak lawan, dan ini ternyata dalam apa yang berlaku di Gelang Patah lima tahun lepas demi untuk memusnahkan bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Ghani Othman.

“Jadi sama juga di kawasan Ayer Hitam, asalnya ia kawasan MCA, justeru mereka bukan sahaja nak menghancurkan Ka Siong tetapi juga MCA,” katanya.

Sebelum ini difahamkan, DAP mahu menyerahkan kerusi Parlimen Ayer Hitam kepada Amanah, namun hasrat itu dibatalkan selepas DAP gagal mendapatkan kerusi tambahan dalam rundingan antara parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Amanah berjaya memperoleh 12 kerusi DUN, manakala DAP tidak mendapat kerusi tambahan.

DAP merupakan parti pembangkang paling kuat di Johor ketika ini dengan memegang empat parlimen dan 13 kerusi DUN.

Advertisements