Jabatan Kesihatan Negeri Kedah Dan Jururawat Buat Laporan Polis Terhadap Video Tular Di Media Sosial

Hospital-780x405

LANGKAWI, 1 April – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah memandang serius tohmahan tidak berasas seorang individu yang bertindak menularkan video memburukkan reputasi kakitangan dan Hospital Langkawi di laman sosial Facebook, sejak semalam.

Video dipercayai dimuat naik pemilik akaun Facebook, Muhammad Izat Marican itu memaparkan tindakannya memarahi dan mengasari secara lisan seorang jururawat wanita di hospital berkenaan, selain turut bertindak merakam perbuatan itu.

Video berdurasi hampir tujuh minit kemudiannya tular daripada laman ‘Langkawi Sana Sini’ sehingga mencapai ribuan perkongsian oleh netizen di Facebook.

Pengarah JKN Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail dalam satu kenyataan menjelaskan, Muhammad Izat dan isterinya berusia 37 tahun hadir ke Dewan Bersalin Hospital Langkawi pada 31 Mac jam 2.20 pagi, untuk membuat pemeriksaan setelah mengalami sakit bersalin.

Menurut Dr Norhizan, wanita berkenaan telah diperiksa oleh jururawat bertugas dan beberapa pemeriksaan dijalankan mendapati kes itu bukanlah kecemasan, namun mempunyai faktor risiko yang perlu diteliti Pegawai Perubatan dan Pakar Sakit Puan.

“Namun begitu, pada masa yang sama, Pegawai Perubatan dan Pakar Perbidanan dan Sakit Puan yang bertugas atas panggilan (on-call) terpaksa menghadiri kes kecemasan di Dewan Pembedahan bagi mengendalikan kes ibu selepas bersalin yang mengalami pertumpahan darah yang perlu rawatan pembedahan segera.

“Kes selesai pada jam 4.52 pagi. Pesakit dan waris perlu memahami sistem tugasan pakar di hospital yang bekerja atas panggilan selepas waktu pejabat.

“Ini merupakan sistem yang digunapakai di hospital-hospital samada pakar dan bukan pakar sejak sekian lama lagi. Sama seperti perkhidmatan pada waktu pejabat, keutamaan sentiasa diberi bagi kes-kes kecemasan,” katanya.

Beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh pihak pengurusan Hospital Langkawi dan jururawat wanita terbabit, semalam.

“Pihak JKN Kedah akan berhubung lanjut dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Negeri dan Balai Polis Padang Matsirat, Langkawi, serta menyeru mereka untuk mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan akta-akta sedia ada bagi melindungi penjawat awam yang dikasari,” katanya.

Dr Norhizan turut mengingatkan orang ramai bahawa tindakan mengambil gambar atau video tanpa kebenaran di premis Kementerian Kesihatan adalah perbuatan yang dilarang sama sekali.

“Begitu juga dengan kekerasan terhadap anggota kesihatan, samada kekerasan fizikal, lisan ataupun bertulis (termasuk di media sosial).

“Tindakan undang-undang boleh diambil oleh pihak berwajib terutama misalnya bawah Kanun Keseksaan Malaysia [Akta 574] dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan seksyen dan subseksyen tertentu bergantung kepada jenis kesalahan,” katanya.

Advertisements