Parlimen Mungkin Bubar Minggu Depan – Rahman Dahlan

Rahman-Dahlan_bn_00

SEPANGGAR, 1 April – Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menjangkakan Dewan Rakyat mungkin dibubarkan sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan manifesto BN menjelang akhir minggu depan.

“Kemungkinannya, berdasarkan pengalaman kami (BN) sebelum ini, pelancaran manifesto BN dibuat selepas parlimen dibubarkan. Itu dah jadi suatu tradisi.

“(Bagaimanapun) Saya tidak pasti sama ada Datuk Seri Najib akan mengamalkan kaedah yang sama (melancarkan manifesto selepas parlimen dibubarkan),” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan jalan raya dan perparitan di Sepanggar di sini.

Abdul Rahman, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata manifesto itu dijadual dilancarkan minggu depan, manakala hari terakhir persidangan Dewan Rakyat ialah 5 April.

“Ada seseorang memberitahu saya, tapi saya tidak dapat mengesahkannya. Anda (rakyat) boleh menjangkakan parlimen akan dibubarkan minggu depan,” kata beliau.

Menurut Abdul Rahman, manifesto BN akan dilancarkan secara besar-besaran pada satu majlis di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Menteri itu berkata, beliau sudah melihat manifesto berkenaan, yang mengandungi perkara “baik dan memeranjatkan”, terutama bagi Sabah.

“Ada juga beberapa perkara (dalam manifesto itu) yang kita tidak pernah terfikir sebelum ini, bagaimanapun kami (pemimpin BN Sabah) telah berjuang bermati-matian mengenainya supaya perdana menteri memasukkan satu atau dua daripadanya ke dalam manifesto itu. Tunggu sahajalah sehingga pelancarannya (untuk mengetahui perkara itu),” kata beliau.

Pada awal Mac, media melaporkan BN akan melancarkan manifesto secara besar-besaran pada 7 April ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN dijangka melancarkan manifesto itu di hadapan ribuan penyokong BN dari seluruh negara.

Untuk rekod, PRU13, Najib melancarkan manifesto BN di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 6 April 2013, iaitu 28 hari sebelum hari mengundi.

Manakala pada PRU12, pelancaran manifesto BN dilakukan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi di PWTC, pada 28 Februari 2008, 11 hari sebelum mengundi.

Advertisements