Tidal Perlu Takut Jika Tidak Sebar Berita Palsu

fake-news.jpg

SHAH ALAM, 1 April – Netizen dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dalam menggunakan media sosial jika tidak mahu dikenakan tindakan disebabkan penyebaran berita tidak benar, kata penganalisis politik Edwin Michael.

Ujar beliau rakyat tidak perlu takut dengan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang dibentangkan di Dewan Rakyat minggu lalu jika tidak menyebarkan berita palsu atau fitnah.

“Kalau anda tidak terlibat dalam apa-apa unsur penipuan dalam memberikan maklumat ataupun berita yang tidak benar, maka anda tidak mempunyai sebab untuk merasa takut, ataupun tidak senang dengan kehadiran undang-undang ini.

“Dalam konteks politik Malaysia, ini adalah satu keperluan, kemestian kerana kita berada dalam revolusi industri ke 4 atau Forth Industry Revolution yang mana teknologi memainkan peranan dalam komunikasi harian kita.

“Penyebaran berita-berita yang tidak benar dan tidak sahih kebenarannya pada ketika ini adalah sangat tidak terkawal, dan setiap hari, saban hari kita boleh lihat bagaimana, tidak kira ahli politik atau bukan ahli politik dilihat memanipulasi sesuatu berita mengikut pandangan dan ideologi politik mereka ataupun mengikut pandangan parti politik yang mereka sokong,” katanya.

RUU Antiberita Tidak Benar mentafsirkan berita tidak benar sebagai sebaran berita, maklumat, data dan laporan yang sebahagian atau sepenuhnya palsu, sama ada disiarkan dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau bentuk lain.

Akta itu turut membabitkan sebarang berita tidak benar dikaitkan dengan Malaysia atau rakyat Malaysia. Individu atau mana-mana pihak yang menyiarkan berita tidak benar, walaupun kesalahan itu dilakukan di luar negara dan bukannya dilakukan rakyat Malaysia, tindakan juga boleh diambil mengikut akta itu.

Edwin berkata lagi, undang-undang ini sepatutnya sudah lama dilaksanakan, lebih-lebih lagi selepas kerajaan dipalitkan dengan tohmahan pembangkang yang menuduh Malaysia membawa masuk 40,000 warganegara Bangladesh untuk menang pada pilihanraya yang lepas.

Malah katanya, sebelum netizen menyebar sesuatu maklumat itu, mereka boleh merujuk di laman web “SEBENARNYA.MY” yang disediakan kerajaan untuk membanteras aktiviti ini.

“Kerajaan sebelum ini telah pun melancarkan sebuah laman web, Sebenarnya.my dimana kerajaan menangkis berita-berita fitnah dan memberikan maklumat yang benar tentang apa sebenarnya yang terjadi. Itu juga boleh dijadikan sebagai satu sistem rujukan.

“Bagaimana untuk kita sahkan maklumat adalah dengan mengunjungi laman web-laman web kerajaan yang mana dalam laman web-laman web ini memuatnaik segala laporan-laporan terperinci. Berdasarkan laporan-laporan ini, mereka boleh sahkan maklumat-maklumat yang mereka terima itu benar ataupun tidak,” ujar beliau.

Portal “SEBENARNYA.MY” telah dilancarkan bagi membolehkan orang ramai menyemak kesahihan berita yang menular di laman sosial.

Portal yang dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) itu merupakan antara usaha kerajaan untuk mengekang penyebaran berita palsu bagi memastikan masyarakat menerima berita yang benar-benar sahih.

Advertisements