Zaid Ibrahim Ahli Politik Kecewa Yang Mahukan Publisiti – Arul Kanda

Zaid-Ibrahim5

KOTA BHARU 1 Mei – Datuk Zaid Ibrahim hanya berniat menagih publisiti apabila membuat pengumuman bahawa peguam di Australia bersetuju mengambil kes terhadap ANZ Bank bagi mendapatkan semula RM2.6 bilion yang didakwa diseleweng daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berkata, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebenarnya kecewa apabila DAP tidak mengotakan janji untuk menjadikan beliau sebagai salah seorang calon parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sehubungan itu kata beliau, Zaid yang sememangnya dikenali sebagai seorang ‘kaki saman namun sentiasa gagal’ kini cukup terdesak mahukan publisiti terpaksa mengambil langkah demikian bagi memastikan namanya terus relevan dalam politik negara.

“Saya kasihan dan bersimpati dengan Datuk Zaid ini. Saya tahu beliau kecewa. Beliau seorang ahli politik yang tidak berjaya kerana pernah dijanjikan Dap untuk menjadi calon namun DAP tetap mengutamakan calon keturunan Cina kerana memang parti itu bertunjangkan orang Cina.

“Pada saya beliau sudah banyak kali mengemukakan saman, kes pada 1MDB pun ada namun setiap kali itu juga pihak mahkamah menolak kerana mendapati saman beliau tidak berasas.

“Yang terbaharu ini saya tidak boleh komen lagi sebab peguam dia baru setuju mahu ambil kes, belum tahu akan ada saman atau tidak tapi dia dah dapat publisiti dengan buat kenyataan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi ahli panel dalam Sesi Townhall ‘Bicara Anak Muda’ BN Parlimen Kota Bharu Bersama Kelab Sahabat N87 di Taman Guru, Pintu Geng, di sini malam tadi.

Seorang lagi tokoh yang menjadi panel dalam program itu ialah Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Nor Adam.

Yang turut hadir, Pengarah Operasi PRU-14 BN, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh; calon BN Parlimen Kota Bharu, Fikhran Hamshi Mohamad Fatmi dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama, Chua Hock Kuan.

Zaid menerusi akaun Twitternya mendedahkan peguam di Australia bersetuju mengambil kes terhadap ANZ Bank bagi mendapatkan semula RM2.6 bilion yang didakwanya diseleweng dari dana 1MDB meskipun pihak berkuasa Malaysia menegaskan sebaliknya.

Advertisements