Mahasiswa Bijak Dan Beradab Membentuk Masa Depan Gemilang

Mahasiswa Kini

SEMEMANGNYA negara memerlukan pemimpin masa depan yang bukan sahaja berani, jujur, memahami hati nurani dan mementingkan kebajikan rakyat serta bertanggungjawab, malah berkeperibadian mulia sebelum nama meniti kemasyhuran.

Tanggal 31 Ogos ini, masuk tahun ke-61 kemerdekaan Malaysia. Justeru, menjadi tanggungjawab generasi muda hari ini mencorakkan wajah dan masa depan, memelihara maruah dan kedaulatan negara agar tidak menemui kehancuran oleh asakan pelbagai masalah sosiobudaya, politik dan ekonomi.

Prinsip mensyukuri nikmat kemerdekaan perlu tertanam jauh di sudut hati rakyat, disertai bersama rasa sayangkan negara. Lantaran itu, tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini ‘Sayangi Malaysiaku’ perlu dihayati dan direnung dalam-dalam falsafahnya.

Kasih sayang adalah senjata ampuh perpaduan agar seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan keturunan memiliki impian sama demi maruah tanah air tercinta.

Bagi membina masa depan Malaysia yang gemilang dan bermaruah, negara turut memerlukan mahasiswa yang bijak dan beradab. Universiti adalah institusi yang melahirkan insan berilmu dan berdaya menyemarakkan segala ilmu yang ditimba sepanjang pengajian.

Penguasaan ilmu dalam sesuatu bidang akan mengangkat martabat sesuatu bangsa dan negara. Dengan ilmu yang diamalkan sebaik mungkin, ia boleh mengubah kehidupan dan nasib sesuatu negara bangsa untuk mendepani cabaran hidup dan zaman.

Mahasiswa adalah insan yang mendominasi warga kampus, memiliki dan berpeluang menyumbang pelbagai idea lantaran sentiasa digalakkan berfikiran kreatif, kritis dan analitis.

Bukan Robot

Mahasiswa bukan robot atau insan tidak berjiwa, sebaliknya perlu dididik menyampaikan pandangan bernas terhadap universiti dan kerajaan.

Mahasiswa tentunya berhak memberi apa sahaja cadangan bernas secara berhemah yang mencerminkan kewibawaan personaliti mereka asalkan menerusi saluran yang berhemah.

Antara personaliti akrab dengan mahasiswa ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), pengetua serta felo kolej kediaman yang menjadi antara insan yang sangat memahami jiwa mahasiswa.

Mereka menjadi tempat rujukan mahasiswa mengadu pelbagai permasalahan yang mencakupi hal penasihatan program, pembangunan sahsiah, membentuk kemahiran insaniah serta kebajikan pelajar yang datang daripada pelbagai latar belakang keluarga.

Mereka bergelumang dengan mahasiswa tanpa mengira waktu siang dan malam melayani anak muda yang energetik menjayakan pelbagai program, sama ada di dalam mahupun di luar kampus, di dalam mahupun di luar negara.

Sungguh besar sumbangan dan pengorbanan mereka demi melahirkan anak bangsa yang bakal mewarisi generasi dalam pelbagai profesion pada masa depan.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) umpamanya, adalah pentas terbaik menggilap idealisme mahasiswa, selain aktif bersama penghuni kolej kediaman. Kebiasaannya September antara bulan dinantikan mahasiswa untuk bertanding menggapai jawatan menerusi pemilihan MPP.

Bina Aspirasi

Setiap mahasiswa memiliki potensi diri dan bakat yang berbeza-beza, malah ada antara mereka diangkat sebagai calon Anugerah Tokoh Siswa (ATS) dan tentunya sesuatu yang membanggakan universiti.

Mereka dinilai berdasarkan penampilan dan pencapaian dalam kemahiran insaniah seperti inovasi, keusahawanan, khidmat komuniti, pengucapan awam hingga melangkau taraf antarabangsa.

Sesungguhnya, mahasiswa memiliki ruang yang luas bersama pengurusan universiti untuk bersatu membina aspirasi dan iltizam secara kebersamaan.

Mahasiswa adalah ejen pembangunan negara dan boleh membantu universiti, masyarakat dan kerajaan dengan pelbagai idea menarik.

Keistimewaan kecerdikan yang ada pada diri mereka boleh digembleng sebaik mungkin, bukan sahaja demi kecemerlangan universiti, malah kerajaan dan masyarakat.

Keterbukaan kerajaan untuk memberi ruang kepada mahasiswa menyampaikan pandangan pastinya akan menyerlahkan idealisme mahasiswa dan mungkin ada pandangan mereka yang bertaraf permata untuk negara.

Mereka memiliki daya fikir yang tajam dan tidak boleh dipandang rendah dalam menentukan hala tuju negara. Iltizam untuk aktif dalam MPP mencerminkan keinginan besar untuk mengembangkan bakat kepemimpinan mengikut potensi diri yang dimiliki.

Dalam pada itu, tanggungjawab pensyarah sebagai penasihat akademik juga tidak boleh dikesampingkan demi melahirkan mahasiswa yang memiliki akal budi yang tinggi.

Peribadi Mulia

Akal budi penting sebagai cerminan sahsiah dan akhlak demi membangunkan generasi muda masa depan yang memiliki keperibadian mulia dan beradab.

Kata sasterawan dan agamawan terbilang, Allahyarham Hamka: “Pergaulan mempengaruhi didikan otak. Oleh itu, untuk kebersihan jiwa, hendaklah bergaul dengan orang beradab dan berbudi mulia yang dapat kita kutip manfaatnya”.

Pandangan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bahawa sekolah perlu mengamalkan prinsip kegembiraan, kasih sayang dan saling menghormati antara isyarat pentingnya membina insan beradab, selain menumpukan kepada kecemerlangan akademik sahaja.

Di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) umpamanya, Naib Canselor Prof Datuk Dr Muhammad Shatar Sabran memberi penekanan kepada amalan prinsip 2A dalam kalangan mahasiswa iaitu ‘Akademik’ dan ‘Akhlak’.

Gabungan dua elemen ini penting demi melahirkan graduan yang hebat, bersahsiah unggul serta dikagumi masyarakat dan majikan selain nilai tambah diri atau kemahiran insaniah.

Begitulah tanggungjawab universiti dan pensyarah sebelum mahasiswa melangkah ke alam kerjaya yang menghidangkan 1,001 macam cabaran.

Adalah wajar kerajaan melihat kebajikan, sumbangan dan pengorbanan pensyarah dalam membentuk keperibadian insan bernama mahasiswa ini.

Advertisements