Indonesia Perlu Ambil Iktibar, Henti Punca Jerebu

 

Screen Shot 2019-09-18 at 1.08.59 AM
Kepulan asap menyelubungi awan akibat hutan yang terbakar di Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, Indonesia, semalam. – Foto EPA

Indonesia kembali menjadi bahan bicara hangat gara-gara isu jerebu makin teruk di rantau ini. Sebagai negara jiran, Malaysia juga tidak terlepas daripada hakikat betapa marah warganya terhadap perkembangan menyakitkan ini yang menyusul dari tanah seberang.

Pada ketika sama kita juga mengerti betapa negara republik itu turut kecewa atau malu menangani krisis ini. Tambahan, mereka ibarat saudara kita.

Kebetulan hubungan dingin ini juga seperti kesinambungan daripada kekalahan 2-3 skuad bola sepak Indonesia ketika kecundang kepada Harimau Malaya di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 September lalu.

Dalam perlawanan pusingan kedua, kelayakan Piala Dunia 2022, penyokong skuad Garuda itu dilaporkan bertindak liar membaling batu ke arah penyokong Malaysia kerana kecewa menanggung kekalahan.

Ini bukan senario baharu, malah situasi sama pernah berlaku beberapa kali ketika kunjungan skuad negara ke ‘kubu lawan yang panas’ itu.

Kini, isu jerebu mengundang rasa marah, bukan sahaja Malaysia tetapi negara jiran serantau lain seperti Singapura, Brunei dan juga di bahagian selatan Thailand.

Kebakaran hutan hujan di Borneo dan Sumatera seperti satu rutin hampir setiap tahun dan jelas ia bukan apa diminta semua, kerana api dan asap boleh menjejaskan kesihatan manusia.

Sebelum ini, senario sama di Amazon yang mengalami kebakaran besar, bulan lalu juga mendapat perhatian global. Api marak pada musim kering ketika hutan dibersihkan, terutama di Brazil untuk tujuan pertanian, penternakan, pembalakan dan juga kerja perlombongan.

Aktiviti ini lazimnya ditakrif haram, tetapi penguatkuasaan dari segi perlindungan ke atas alam sekitar dilihat agak hambar dalam konteks ini.

Akhirnya, yang menjadi mangsa adalah manusia, khasnya bayi atau kanak-kanak yang menghidu udara kotor, tambah perit lagi, berbau busuk.

Apa yang berlaku di Asia Tenggara tidak jauh daripada hakikat ini ketika ada sekumpulan manusia bersifat tamak mahu mencari keuntungan tanpa mempedulikan kesan atau impak kepada persekitaran tempat tinggal penduduk di kawasan terbakar itu.

Baru-baru ini, seorang warga dari Pekanbaru di Riau yang ditemu bual oleh AFP berkata, jerebu yang teruk kali ini di beberapa wilayah di Indonesia menjejaskan kehidupan harian rakyat.

Dia turut membuat satu rumusan jerebu ini adalah ‘angkara bencana ciptaan manusia’.

Bekas kakitangan awam berusia 57 tahun yang hanya dikenali dengan satu nama itu meluahkan rasa kecewa dan marah, meminta syarikat terbabit berserta peladang menghentikan kebakaran demi kesihatan manusia dan ternakan serta spesies lain yang hidup di hutan hujan sebagai habitat mereka.

“Saya dan penduduk di tempat saya sukar bernafas tanpa memakai topeng. Ramai jiran saya jatuh sakit,” katanya yang mengakui mereka melalui kehidupan sukar sejak sebulan lalu.

Seorang ibu dari Sumatera, Fatimah Al-Kareem, 26, dari Pekanbaru sudah berpindah membawa bayinya kerana bimbang akan sesak nafas menghidu asap jerebu.

“Bau asap busuk dan ia bertambah buruk setiap hari. Saya langsung tidak dapat menghidu udara segar lagi,” katanya dari rumah lainnya di Sumatera.

Senario di Indonesia juga turut mendapat perhatian komuniti antarabangsa yang peka dengan fungsi hutan hujan bagi melindungi planet daripada pemanasan global.

Ketika ini, Jakarta belum mengalah kerana pihak berkuasa di negara itu turut berkata asap itu juga datang dari kawasan Malaysia.

Biarlah gelagat tuding menuding ini dihentikan. Sebaliknya, lebih wajar bagi dua pihak bekerjasama untuk memadamkan kebakaran, walaupun api di tanah gambut bukan mudah dipadamkan segera.

Sebagai negara jiran, kita tidak mahu melihat perkembangan ini berlarutan kerana sesungguhnya ia tidak menguntungkan sesiapa.

Segala-galanya terletak pada pihak terbabit untuk mencari jalan penyelesaian terbaik kerana api dimulakan manusia dan api juga boleh dipadamkan oleh manusia.

Pembakaran hutan ada hadnya, namun, jika ia melampaui batas bererti manusia sudah bersifat tamak mahu mengejar keuntungan sambil mengabaikan elemen penting iaitu keselamatan dan kesihatan penduduk yang sering menjadi mangsa keadaan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.