Tolong Jaga Langkawi Dan Lupakan Agenda Untuk Rampas Kuasa

Mahathir
“Cukup-cukuplah Tun M bermain politik, kerana kami sebagai rakyat marhaen sudah jemu lihat percaturan politik yang dimomokkan sedangkan dalam masa sama soal kebajikan kami tidak pula dipertahankan.”

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Penduduk Langkawi meminta Tun Dr. Mahathir Mohamad melupakan agenda politik ‘merampas’ semula kuasa dan membiarkan mereka terkapai-kapai.

Rata-rata mereka mendakwa semasa menjadi Perdana Menteri selama 22 bulan, tidak ada sebarang perkara dibuat yang menguntungkan mereka di pulau berkenaan.

Sebagai ahli Parlimen Langkawi, mereka menganggap sudah tiba masa Mahathir melayan kehendak mereka yang juga pengundinya semasa PRU-14.

Bagi seorang pengusaha perkhidmatan kereta sewa di Langkawi, Zunaidee Kasa berpendapat sudah tiba masanya Mahathir menghentikan segera setiap tindak tanduk politik subversif kononnya bagi mengembalikan mandat rakyat, sedangkan ketika berkuasa, beliau sendiri tidak menunaikan amanah.

“Cukup-cukuplah Tun M bermain politik, kerana kami sebagai rakyat marhaen sudah jemu lihat percaturan politik yang dimomokkan sedangkan dalam masa sama soal kebajikan kami tidak pula dipertahankan.

“Apakah jasa dan sumbangan Tun M selama 22 bulan bergelar PM dan Ahli Parlimen Langkawi?. Malah lebih sedih lagi, setiap kali diminta bantu kebajikan rakyat di sini alasan diberikan Tun M sama, kerajaan tidak ada duit tetapi membuat pejabat Ahli Parlimen Langkawi RM80,000 boleh pula,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Selain Mahathir, anaknya yang juga Menteri Besar Kedah sebelum ini, Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga didakwanya tidak komited membantu rakyat Kedah termasuk Langkawi terutama ketika wabak Covid-19 mula melanda dahulu.

“Beliau (Mukhriz) adalah Menteri Besar Kedah tetapi selesa duduk di Kuala Lumpur. Jadi apa sebenarnya peranan beliau sebagai MB. Kami amat sedih apabila kerajaan turut ditadbir sama seperti sebuah perniagaan keluarga.

“Semua rakyat tahu, anak-anak Tun M ada yang bergelar bilionair tetapi apa jasa mereka kepada negara dan Langkawi sebagai daerah yang jadi tapak berjejak untuk mereka kekal berkuasa,” ujarnya.

Sementara itu, seorang peniaga, Fatimah Abd. Hamid mengakui kecewa dan letih dengan permainan politik pihak tidak bertanggungjawab yang secara tidak langsung menjejaskan mata pencarian mereka di pulau bebas cukai itu.

“Apa matlamat dan objektif mereka untuk menumbangkan kerajaan. Walaupun baru tiga bulan Tan Sri Muhyiddin Yassin memimpin negara, rakyat sudah selesa dengan nikmat yang dikongsi bersama.

“Kami penjaja kecil sudah letih dengan permainan politik hari ini, sudah-sudahlah, walhal dulu selama 22 bulan mereka memerintah kami hendak minta dana pun susah. Jadi, jangan tergopoh-gapah nak jatuhkan kerajaan hari ini,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Langkawi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berpendapat, usaha untuk menukar kerajaan amat tidak tepat dan tidak perlu diteruskan ketika negara sedang dalam pemulihan ekoran pandemik Covid-19.

“Dalam keadaan industri pelancongan negara dan Langkawi khususnya lumpuh, agenda politik itu tidak wajar dilaksanakan ketika pemain-pemain industri perlu bergantung kepada kerajaan untuk bangkit kembali,” katanya.

Tambah beliau, peluang seharusnya diberikan kepada kerajaan untuk memimpin sehingga habis penggal atau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sama ada rakyat menerima atau tidak untuk membuat keputusan.

Bagi pemandu teksi, Ramli Ahmad, pula, semua pihak tanpa mengira ‘bendera politik’ perlu mengenepikan sebarang usaha untuk menukar kepemimpinan negara, sebaliknya memberi tumpuan kepada kestabilan ekonomi terlebih dahulu.

Menurutnya, tindakan merebut kuasa hanya akan menjejaskan usaha memulihkan ekonomi negara, walaupun pelbagai langkah dan inisiatif telah diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

“Ramai rakyat sudah hilang pekerjaan, ada perniagaan yang telah ditutup. Mengapa mahu memeningkan lagi kepala kami memikirkan masalah politik setiap masa. Kita faham ini negara demokrasi tetapi dalam keadaan begini sewajarnya bersama-sama bekerjasama memikirkan masalah negara yang terjejas akibat Covid-19,” katanya.

Pendapat sama dikongsi Pengerusi Koperasi Peniaga Pasar Malam Langkawi, Yusof Zakaria yang merayu ahli politik memikirkan cara hendak membantu rakyat dan peniaga yang terjejas terlebih dahulu.

“Melihat kepada isu semasa ketika ini, sebagai rakyat kami turut keliru dan pening melihat kerenah pihak tertentu. Jadi, kalau boleh letak tepi dahulu politik dan fokus bantu usahawan,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.