Cabaran Dan Dugaan Dalam Membina Naratif Nasional Melalui Media Sosial

media social
Pengaruh media baharu semakin rancak dan lambakkan sesuatu berita atau maklumat berkaitan aktiviti sosio-politik ekonomi manusia hari ini semakin meriah. Pelbagai perkara disebarkan secara pantas dan meluas, hingga menyebabkan ada berita tular walaupun kesahihannya belum dapat dipastikan.

Penyebaran maklumat pada abad ini sangat pantas dan tanpa sempadan geografi, tiada hentian waktu dan tidak ada titik nokhtah. Penyebaran maklumat pada abad ini boleh dikatogorikan sebagai abad ‘langit terbuka’ yang menyediakan ‘lebuh raya maya’ yang berupaya melambakkan segala macam bahan berita dan informasi, daripada bersifat teks hingga lah ke bentuk visual yang mempunyai pelbagai ragam dan rencam.

Internet menjadi salurannya dan media sosial pula menjadi wadah utama bagi sesetengah pinhak untuk menyampaikan segala yang berlaku dalam kehidupan harian masyarakat ketika ini.

Hakikatnya, pengaruh media baharu semakin rancak dan lambakkan sesuatu berita atau maklumat berkaitan aktiviti sosio-politik ekonomi manusia hari ini semakin meriah. Pelbagai perkara disebarkan secara pantas dan meluas, hingga menyebabkan ada berita tular walaupun kesahihannya belum dapat dipastikan.

Dalam konteks inilah kita melihat media sosial mampu menjadi wadah penting dalam membina sebuah naratif nasional yang berkesan jika digunakan dengan cara yang betul dan bertanggungjawab.

Melalui media sosial segala bentuk idea dan pemikiran mampu mempengaruhi pandangan, gaya hidup serta norma dan budaya masyarakat serta bangsa. Namun, pemikiran yang pelbagai ini memerlukan kematangan berfikir serta keupayaan menapis perkara yang baik dan buruk.

Benar atau palsunya sesuatu maklumat itu mesti ditapis dengan lebih berhati-hati supaya kita tidak membuat kesilapan yang boleh mengakibatkan mana-mana indivdu atau kumpulan menjadi mangsa kepada si pembuli siber.

Kita harus akui dalam konteks masyarakat bersifat ‘pluralistik’, penggunaan media sosial dalam kalangan rakyat belum cukup matang sepenuhnya. Buktinya masih banyak isu sensitif (agama dan perkauman) bermain di ruang media sosial kita ketika ini.

Tambah memburukkan keadaan apabila isu sensitif itu dipolitikkan atau dijadikan alat propaganda politik tanpa mempedulikan kesan buruknya terhadap masyarakat dan negara. Sifat penggunaan media sosial yang kurang matang ini menggambarkan proses sosialisasi politik masyarakat kita belum lagi mencapai standard kematangan yang boleh dibanggakan walau pun negara kita sering mendapat pujian dari rakyat negara lain.

Antara punca ketidakmatangan sikap ialah, sentimen dan corak pemikiran yang jumud serta kurang rasional dalam hal-hal tertentu menampakkan kebertanggungjawaban terhadap membina naratif nasional tidak akan mencapai sasaran yang dikehendaki selagi pengguna media sosial di negara ini tidak berusaha untuk mengubahnya.

Wujudnya corak pemikiran dan perbezaan sifat itu memberi kesan kepada sikap dan hubungan sosial antara kaum. Sentimen kaum dan agama yang masih menebal, kuat mempengaruhi sikap pengguna media sosial kita. Sikap negatif ini boleh menjejaskan peranan media sosial dalam membina naratif nasional yang berkesan.

Pada era globalisasi ini wujud pengaruh nilai asing yang bercanggah dengan kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Contohnya, nilai liberalisme diperjuangkan segelintir warganegara kita melalui media sosial, menimbulkan banyak kekeliruan nilai dalam masyarakat, terutamanya generasi muda pada hari ini.

Yang jelas, isu media sosial digunakan sebagai saluran menyebar pemikiran asing yang bercanggah dengan kehendak untuk membina naratif nasional dan ianya menjadi cabaran kepada usaha pengukuhan negara bangsa Malaysia yang lebih baik.

Kita harus sedar dalam pentas demokrasi yang memberikan kebebasan bersuara, sikap dan kecenderungan memanipulasi isu agama dan kaum secara tidak terkawal boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian masyarakat.

Justeru, kawalan dan tindakan tegas terhadap setiap kandungan yang diterbitkan di media sosial yang melampaui batas sehingga boleh mencetuskan provokasi antara kaum dan agama, perlu dikenakan tindakan tegas tanpa sebarang kompromi. Semua pihak mesti berusaha mengamalkan sikap bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial sebagai platform untuk menyuarakan sesuatu pendapat.

Gunakanlah kebebasan bersuara di media sosial ini secara bijaksana. Sebarkan kebaikan, luahkan pandangan atau kritikan secara konstruktif atau membina.

Pemimpin politik, termasuk pimpinan kerajaan dan pembangkang juga harus bertanggungjawab dalam perkara ini. Pemimpin kerajaan dan pembangkang harus bersuara selari dengan Perlembagaan dan ideologi negara (Rukun Negara), bukannya menjadi pencetus huru hara dalam masyarakat yang berbilang kaum di negara kita.

Suara pemimpin kerajaan dan pembangkang jangan sampai menjadikan rakyat keliru dan ‘kebingungan’ kerana setiap kata-kata yang keluar dari mulut pemimpin sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang akan memberi kesan kepada rakyat jelata. Jangan sampai rakyat mempersoalkan ini suara kerajaan atau suara golongan anti-nasional.

Parti komponen dalam kerajaan dan pembangkang jangan bertindak atau terlalu memberi fokus dan tumpuan ke atas agenda kepartian masing-masing sahaja, sebaliknya sebagai sebuah negara yang mendukung prinsip Perlembagaan Negara yang mengandungi semangat kontrak sosial didalamnya mereka tidak seharusnya terbabas daripada mendahului ideologi nasional (Rukun Negara) demi kebaikan kita bersama.

Kewujudan portal berita dalam talian juga harus memiliki sifat bertanggungjawab. Portal berita harus memainkan peranan penting dalam membina masyarakat dan negara. Portal berita harus menyalurkan berita, laporan dan maklumat bersandarkan fakta, bukannya ‘auta’ atau propaganda murahan demi kehendak pihak tertentu.

Portal berita harus berupaya membetulkan kepincangan, kekusutan dan kecelaruan rakyat dalam berhadapan dengan pelbagai lambakan maklumat ketika ini melalui media sosial. Laporan berita dan artikel yang dipaparkan seharusnya meninggalkan impak signifikan kepada rakyat bersandarkan fakta yang sahih, tepat dan tidak ‘buyers‘ kepada mana-mana pihak supaya idea untuk merealisasikan aspirasi nasional dalam pemikiran dan jiwa rakyat mencapai sasaran yang di kehendaki.

Kita tidak begitu bimbang dengan portal berita diwujudkan media cetak utama atau mainstream di negara ini kerana ia sudah memiliki sifat berimbang, bebas dan profesional dalam pemberitaan. Yang kita bimbang portal berita yang wujud tanpa asas kewartawanan dan tanggungjawab secara profesional.

Oleh itu, kita mengharapkan pembaca lebih bijak menghadam maklumat dipapar atau tular melalui portal berita sedemikian. Hanya portal yang mampu menyediakan berita sofistikated, pantas, terkini, menarik, adil, saksama dan berupaya memikul tanggungjawab terhadap negara, harus mendapat perhatian rakyat.

Kesimpulannya, membina naratif nasional melalui media sosial adalah sesuatu yang mencabar kerana sifatnya yang terlalu terbuka dan sukar dikawal walau pun negara kita mempunyai undang-undang yang sedia ada.

Justeru, untuk menjadikan media sosial sesuatu yang konstruktif dalam membina naratif nasional, maka harus ada mekanisme kawalan yang berkesan tetapi tidak terlalu rigid atau tegas sehingga membekukan kebebasan untuk rakyat berwacana dalam arus pembangunan nasional dan perkembangan global.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.