Daftaran Ahli UMNO Online

Kini anda boleh mendaftar keahlian UMNO secara ‘Online’ dengan menekan klik disini.

Pendaftaran Keahlian Secara Online Permudahkan Generasi Muda Sertai UMNO – Najib Razak

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dengan kewujudan sistem pendaftaran ahli UMNO secara Online merupakan satu langkah peremajaan parti dalam usaha untuk menjadikan UMNO sebagai sebuah parti yang inklusif dan bertujuan untuk memudahkan orang ramai terutama generasi muda di negara ini untuk menyertai UMNO.

Menurut beliau, konsep peremajaan parti bukanlah hanya bermaksud dari sudut menggantikan pemimpin lama dengan pemimpin baru saja, tetapi ia juga bermaksud peremajaan dari pelbagai aspek termasuk dari sudut amalan dan pendekatan juga perlu melalui proses peremajaan.

“Dan hari ini kita telah melakukan peremajaan UMNO kerana selama ini kita lihat bahawa untuk menjadi ahli UMNO terlalu birokrasi dan terlalu banyak karenahnya. Cerita borang hilang, cerita borang kena perenyuk, cerita borang tak diterima, cerita kena isi borang sampai dua tiga kali, kita dah letih dengar.

“Sebab itu sistem pendaftaran keahlian UMNO secara online ini akan menyelesaikan segala kerumitan dan hambatan untuk menjadi ahli UMNO.

“Langkah ini juga adalah hasrat kita untuk membuka ruang yang lebih luas kepada generasi muda, memandangkan ramai generasi muda yang berminat untuk menyertai UMNO namun terpaksa menghadapi karenah birokrasi dan sebagainya,” tegas beliau dalam ucapan perasmian Sistem Keahlian UMNO Secara Online di Dewan Tun Hussein On di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

DSC_4956Tambah Najib, dengan wujudnya sistem pendaftaran keahlian UMNO secara online ini juga memperlihatkan parti Melayu terbesar ini telah terkehadapan dalam memanfaatkan teknologi selaras dengan zaman informasi teknologi hari ini.

“Saya amat berharap bahawa sistem baru ini diterima pakai dan disambut dengan baik di semua peringkat. Dengan sistem ini, dalam masa yang cukup pantas kita boleh menjadi ahli UMNO baik kita berdaftar dari dalam negara mahupun di luar negara.

“Sistem ini juga akan menapis segala maklumat untuk memastikan tidak ada ahli pembangkang yang cuba untuk menyusup masuk ke dalam UMNO di mana sekiranya berlaku, maka keahliannya akan dibatalkan serta merta.

“Segala maklumat pendaftaran keahlian secara online ini akan melalui proses daripada ibu pejabat ke badan perhubungan negeri, kemudiannya ke peringkat bahagian dan seterusnya diagihkan kepada cawangan yang berkenaan. Jadi tidak timbul isu bahagian dan cawangan tidak tahu menahu tentang pendaftaran keahlian secara online ini,”jelasnya.

Beliau menyifatkan sistem pendaftaran keahlian UMNO secara online ini merupakan lonjakan berganda dalam usaha mentransformasikan UMNO menjadi sebuah parti yang sentiasa relevan sepanjang masa dan sepanjang zaman.